PDRM-5

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mahu mengemukakan cadangan untuk tidak lagi mengenakan kompaun bagi pemandu yang memandu tanpa lesen, sebaliknya terus mendakwa mereka di mahkamah. Baru-baru ini, seorang pemandu lori yang merempuh 22 buah kereta di Nibong Tebal pada Ahad lalu, didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Menurut Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar, tindakan serius itu penting untuk dilakukan sebagai langkah menurunkan statistik kemalangan maut yang meningkat sepanjang tahun, laporan The Star.

“Kita akan mencadangkan bahawa menggunakan kenderaan tanpa lesen, tidak akan dikenakan kompaun lagi. Sebaliknya kita akan terus dakwa pesalah ini di mahkamah kerana mendapati banyak punca kemalangan maut dan cedera parah disebabkan pemandu tanpa lesen.

“Dia tidak tahu undang-undang, tidak tahu gunakan kenderaan dengan betul tetapi dibenarkan guna kenderaan itu. Jadi kita kena serius,” katanya.

Bukan itu saja, Khalid juga berkata, tindakan keras akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka.

“Tuan punya kenderaan juga akan diambil tindakan keras. Ibu bapa juga boleh dikenakan kompaun,” katanya.

Apa komen anda mengenai isu ini? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah.