foday_landfort

Malaysia bakal menerima satu lagi jenama model kenderaan baharu yang diproduksi di Malaysia dengan nama SAF. Ia bakal diperkenalkan oleh syarikat tempatan iaitu Enggang Keramat Automotive Sdn Bhd, dengan menawarkan dua model kenderaan iaitu SUV SAF Landfort dan pikap SAF Striker. SAF yang bermaksud ‘barisan hadapan dalam solat’, dijangka akan dilancarkan pada April ini.

Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Azizul Hj Tandek, Pengarah Urusan Enggang Keramat kepada paultan.org.

Kedua-duanya adalah model kenderaan yang rebadged dari jenama China iaitu Foday, dan jika di negara berkenaan, pikap tersebut dikenali sebagai Lion F22 dan SUV Landfort. Walau bagaimana pun, bagi pasaran Malaysia, kedua-duanya akan menggunakan logo SAF waima imejnya masih seiras dengan model pasaran China.

Kedua-dua model ini juga dipasangkan di Oriental Assemblers, Tampoi, Johor iaitu sama dengan pemasangan model Cherry di Malaysia.

Bagi kedua-dua model pikap dan SUV berkenaan, hanya satu jenis enjin sahaja yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 4G69S4N 2.4 liter petrol yang diperoleh dari Mitsubishi. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 134 hp pada 5,250 rpm dan tork 200 Nm dari 2,500 hingga 3,000 rpm. Ia turut ditawarkan dengan dua transmisi iaitu manual lima-kelajuan dan automatik enam-kelajuan. Bagi SUV SAF Landfort, ia turut ditawarkan dengan pacuan 2WD dan 4WD, sementara hanya 4WD bagi SAF Striker.

Foday Lion F22 59

SAF Striker dijangka akan dijual pada harga di bawah RM100,000, manakala SAF Landfort pula kurang dari RM150,000. Enggang Keramat mensasarkan jualan sebanyak 100 unit bagi setiap model sebagai permulaan, dan sudah pun mempunyai 20 pengedar, kesemuanya pusat 3S di seluruh negara termasuk Malaysia Timur.

Perincian penuh mengenainya masih belum dimaklumkan, namun kedua-dua model akan dilengkapi dengan dua beg udara dan ABS bersama EBD, tanpa kawalan kestabilan.

Jadi apa pendapat anda mengenai satu lagi jenama yang dianggap sebagai jenama tempatan ini yang bakal menerjah pasaran kita dijangka bulan hadapan? Adakah ia mampu menyaingi model persaingnya yang sudah mempunyai nama tersendiri dalam pasaran automotif tempatan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

GALERI: Foday Lion F22

GALERI: Foday Landfort