Lexus GS facelift kini di Malaysia – varian GS 250 digugur, diganti varian GS 200t berkuasa turbo

SG0005-C-e1456802133134_BM

Lexus GS facelift kini telah mula dipasarkan dalam pasaran Malaysia. Bermula untuk versi facelift ini, varian GS 250 telah digugurkan dan digantikan dengan varian GS 200t yang dibahagikan kepada tiga versi iaitu GS 200t Premium, GS 200t Luxury dan GS 200t F Sport. Varian Gs 300 Hybrid, GS 350 F Sport dan GS 350 Luxury masih lagi dikekal menjadikan sejumlah enam varian disediakan untuk pilihan pelanggan.

Pada bahagian luaran model facelift ini masih lagi tampil dengan rekaan gril signatur ‘spindle grille‘ tetapi dengan rekaan baru yang lebih segar. Ia juga dilengkapi dengan lampu hadapan baharu dengan bentuk seiras Lexus IS, dengan lampu nyalaan siang berasingan yang terletak pada bampar hadapan. Lampu belakang juga ditukar dengan lampu rekaan baharu, begitu juga dengan bampar belakang.

Berbeza dengan varian GS 250 terdahulu, GS 200t menampilkan enjin empat-silinder 8AR-FTS yang lebih kecil, tetapi hadir dengan bantuan pengecas turbo yang membolehkan ia menjana kuasa maksima 241 hp pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula pada 1,650 rpm hingga 4,400 rpm. Ini bermakna GS 200t adalah 17% lebih berkuasa dan 38% lebih tork berbanding enjin 2.5 liter tanpa pengecas turbo yang dilengkapi pada GS 250.

Kuasa dari enjin ini akan dipacu sepenuhnya oleh roda belakang menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik SPDS yang sangat responsif. Kereta ini juga boleh dipandu dengan tiga mod pilihan iaitu ECO, NORMAL dan SPORT.

Varian GS 200t menerima lampu hadapan bi-LED dengan sistem auto levelling serta sistem pembersih lampu, penggilap cermin dengan penderia hujan, balutan kulit pada bahagian dalaman dan roda stereng, kolum stereng larasan kuasa, penukar gear, sistem kunci pintar, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua zon, sistem audio Lexus menghubungkan 12-speaker serta paparan skrin lapan-inci dan tempat duduk hadapan 10-larasan berkuasa dengan lumbar support dilengkapi pemanas serta liang udara. Tempat duduk pemandu juga disertakan dengan fungsi memori larasan. Bahagian roda pula dilengkapkan dengan rim 17-inci dengan tayar 225/50R17.

Pada varian GS 200t Luxury pula, ia ditambah dengan lampu utama LED berbentuk-L, sistem kunci kad pintar, penghawa dingin tiga zon dengan Nanoe ioniser, sistem audio Mark Levinson dengan 17 unit pembesar suara serta skrin paparan 12.3-inci yang lebih besar. Skrin besar tersebut mampu untuk memberikan paparan peta penuh untuk sistem navigasi, dibantu pengawal Remote Touch Interface untuk kawalan butang yang lebih ringkas dan mesra pengguna.

gs200t-gallery_sg3102-850x403_BM

Bahagian dalaman varian ini menampilkan trim eksklusif dengan kemasan kayu yang turut meliputi bahagian roda stereng. Tempat duduk hadapan dilengkapi dengan 18-larasan berkuasa dengan fungsi memori pada kedua-dua belah dan sistem lumbar support dengan empat larasan. Tiada pemanas tempat duduk dipadankan untuk model ini. Varian ini juga menampilkan dua lagi mod pemanduan yang boleh dipilih iaitu SPORT+ dan CUSTOMIZE. Rim 18-inci dibaluti tayar 235/25/R18 dilengkapkan pada setiap sudut GS 200t Luxury.

Selain dari kit badan untuk membezakan varian F Sport dan varian Luxury, F sport dilengkapi dengan tempat duduk pemandu 16-larasan berkuasa dan hanya 10-larasan berkuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan. Kesemua tempat duduk dibaluti kulit eksklusif F Sport dan diserasikan dengan trim F Sport untuk keseluruhan bahagian dalaman. Panel meter juga direka eksklusif untuk varian F Sport dengan paparan pelbagai info lapan-inci. F Sport dilengkapi dengan rim 18-inci dengan tayar bersaiz 235/45/R18.

Untuk ciri keselamatan, GS dilengkapi dengan sistem Vehicle Dynamics Integrated Management yang menghubungkan kesemua penderia dan unit kawalan untuk pengaktifan sistem kawalan stabiliti VSC, ABS, Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman dan sebagainya. Ia juga dilengkapi dengan 10-beg udara dan kamera undur. Untuk varian GS 200t Luxury dan F Sport, ia turut ditambah dengan ciri paparan titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

SG6061-C-e1456812018643-850x455_BM

Varian GS 200t Premium dijual pada harga RM439,200. Untuk varian GS 200t Luxury pula dijual pada harga RM484,100 manakala untuk varian GS 200 F Sport dijual pada harga RM496,100.

Untuk varian GS 350 Luxury dan GS 350 F Sport, ia dikuasakan dengan enjin 2GR-FKS V6 3.5 liter tanpa pendesak turbo berkuasa 311 hp dan 380 Nm. Ia juga dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik SPDS dan membolehkan kereta ini memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 6 saat berbanding GS 200t yang mengambil masa 7.3 saat. GS 350 Luxury dijual pada harga RM543,400 manakala untuk GS 350 F Sport berharga RM562,510 dengan kedua-dua spesikasi menyamai Luxury dan F Sport pada GS 200t.

Untuk mereka yang berminat dengan kuasa hybrid, varian GS 300h ditawarkan – dijana enjin petrol empat-silinder 2.5 liter digabungkan dengan sistem Lexus Hybrid Drive. Berbeza dengan enjin 2AR-FXE pada Camry Hybrid, enjin 2AR-FSE pada GS 300h ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus D-4S, dipadankan dengan kotak gear CVT dan memacu kedua-dua belah roda belakang. Kuasa 178 hp dan tork 221Nm yang dijana pada enjin petrol digabungkan dengan kuasa motor elektrik 140 hp dan tork 300 Nm menghasilkan kuasa mutlak sebesar 220 hp. Kereta ini juga dilengkapi dengan bateri NiMH 192 sel (datang dengan lapan tahun waranti).

Dikecualikan dari insentif cukai Hybrid kerana hadir sebagai unit diimport sepenuhnya (CBU), GS 300h dijual pada harga RM631,700. Kesemua varian Lexus GS datang dengan waranti tiga tahun atau 100,000 KM dan kini dipamerkan di semua bilik pameran Lexus.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required