Haval-H2-1_BM

Pada NST-MAI ASEAN Auto Show tahun lalu, jenama dari China, Great Wall Motors (sekarang dikenali sebagai Haval Motors) membuat prebiu model Haval H2. Kini, ia disahkan akan masuk ke pasaran Malaysia sekitar suku kedua tahun ini dan bakal bersaing dengan SUV segmen-C yang lain seperti Hyundai Tucson, Kia Sportage, Honda CR-V dan juga Mazda CX-5.

Berdasarkan kertas spesifikasi yang dipamerkan pada prebiu tersebut, H2 hadir dengan dua opsyen iaitu model 2WD dan juga 4WD. Tiga varian disenaraikan iaitu City, Luxury dan Dignity, tetapi tiada lagi kata putus varian yang mana bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

H2 ini bakal dijana enjin petrol 1.5 liter turbo dual-VVT 4G15B yang mampu menghasilkan 147 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 210 Nm bermula 2,200 hingga 4,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

Peralatan yang dilengkapi pada H2 ini agak menarik. Lampu hadapan halogen automatik dengan fungsi “follow-me-home” dipadankan bersama lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada bahagian apron hadapan. Pakej estetika juga termasuk roda aloi 18-inci bersama cat badan dengan dua tona.

Pada bahagian dalaman, tempat duduk bahagian pemandu diberikan fungsi larasan enam-arah berkuasa bersama sokongan lumbar. Kesemua tempat duduk dan juga roda stereng menerima balutan kulit. Ciri mewah lain pada SUV ini termasuklah sistem kunci pintar, paparan pelbagai informasi TFT berwarna 3.5-inci, unit infotaimen dengan skrin sesentuh, penghawa dingin automatik dua zon dan juga kamera undur/sistem radar.

Untuk bahagian keselamatan, Haval H2 menawarkan enam beg udara, (dua di hadapan, sisi, dan langsir), bersama kawalan stabiliti elektronik (ESC) serta sistem ABS bersama EBD dan bantuan brek. Sistem pantauan tekanan angin tayar (TPMS) juga turut dilengkapi pada SUV ini. Setakat ini, harga dan spesifikasi akhir untuk Haval H2 masih lagi belum didedahkan.