2016-Proton-Saga-spyshot

Semalam kita disajikan dengan foto bahagian belakang Proton Saga 2016, dan hari ini foto bahagian hadapannya pula tersebar menerusi laman Facebook Proton CFE & CVT Technical Discussion.

Nampak macam tak banyak perubahan berbanding model Saga FLX sedia ada, tetapi jika ditatap betul-betul Saga 2016 ini menampilkan gril hadapan dua-bar, serta lampu utama yang dibentuk semula menampakkan lebih tiga-dimensi. Rekaan bampar juga kelihatan lebih agresif, dengan lampu kabus dan spoiler dagu seperti mana yang ada pada model baharu Proton yang lain (dari model Preve ke atas).

20160322_095018

Selain itu, garisan bumbung kelihatan lebih condong dari belakang menurun ke hadapan menampakkan pandangan yang lebih dinamik. Malah pemegang pintu baharu (dari Iriz) turut ditampilkan. Ia turut menggunakan tiang-C yang seakan membentukkan pintu belakang. Malah mengikut foto spyshot semalam, bahagian belakang juga nampak seperti diolah semula termasuk lampu tiga-dimensi dan kepingan plat nombor baharu.

Buat masa ini perincian teknikal belum didedahkan, namun Saga mungkin akan menggunakan enjin Iriz iaitu 1.3 liter VVT dan pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan atau CVT. Malah Proton telah mengumumkan enjin 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder mungkin ditampilkan bagi model akan datang iaitu menjelang akhir 2017. Malah enjin 1.0 liter pengecas turbo juga mungkin ditampilkan.