Malaysia-Taxi-03

Kerajaan tidak akan mengharamkan aplikasi Uber menurut laporan The Sun Daily. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, aplikasi tersebut tidak akan diharamkan tetapi akan dikawal selia bagi memastikan ia tidak akan menjejaskan industri teksi sedia ada.

“Uber perlu berada di dalam sistem kami, selepas itu barulah kami boleh mengawal selia aplikasi tersebut,” jelas Syed Hamid kepada wartawan selepas pelancaran bendera Gemilang dan Kelab Pemilik TEKS1M di Johor Bahru.

Setelah mesyuarat bersama SPAD dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tempoh hari, persetujuan dicapai untuk tidak mengharamkan aplikasi mudah alih tersebut.

Tambah Syed Hamid lagi, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian oleh SPAD, 85% penumpang teksi memilih untuk menggunakan Uber.

KL06_181115_PEMANDU_TEKSI

“Untuk lebih kompetitif, ada beberapa persatuan teksi atau kelab kini telah membuat aplikasi mereka sendiri untuk menawarkan servis yang lebih baik. Kita semua perlu tahu bahawa teknologi boleh membawa kita ke tahap yang lebih tinggi. Tetapi berlainan dengan Uber. Masalah utama Uber ialah kereta mereka tidak mempunya lesen dari SPAD dan pihak berkuasa lain yang berkenaan,” jelas beliau lagi.

Walau bagaimanapun, Syed Hamid berkata mereka perlukan masa untuk mengkaji bagaimana untuk mengawal selia kereta-kereta Uber tetapi tidak mahu mengulas lanjut berkenaannya.

“Orang awam perlu tahu yang Uber tidak semestinya lebih murah dari teksi biasa,” tambah beliau lagi.

Sementara itu Syed Hamid menyatakan yang beliau terkejut kerana hanya 20,000 rakyat Malaysia yang menggunakan aplikasi “Meter-on”. Justeru, beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengembangkan aplikasi yang digunakan oleh 76,000 teksi dari pelbagai servis tersebut.