Renault_Megane_IV_025

Perincian berkenaan Renault Megane RS generasi seterusnya akhirnya telah muncul. Sumber dari Renault Sport mendedahkan kepada Auto Express, Megane RS baharu kelak adalah sangat berbeza dari model sebelum ini dengan menampilkan kuasa lebih dari 300 hp, sistem stereng semua roda dari Megane GT (gambar diatas) dan hanya hadir dengan varian hatchback lima-pintu.

Dengan mensasarkan Ford Focus RS sebagai saingan utama, sumber berkenaan menyebut Renault Sport sedang giat berusaha mengekstrak lebih kuasa dari enjin empat-silinder 2.0 liter turbo model tersebut. Megane RS sedia ada mempunyai kuasa setinggi 275 hp, dan generasi seterusnya dikatakan mampu untuk menjana lebih dari 300 hp dalam usaha mereka untuk menyaingi Ford Focus RS.

Hatchback berprestasi tinggi dari Renault Sport ini juga bakal dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan juga sistem stereng semua roda. Untuk sistem transmisi, ketua Reanult Sport, Patrice Ratti, sebelum ini mendedahkan Megane RS baharu ini akan dilengkapi dengan dua pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau kotak gear klac berkembar EDC auto enam-kelajuan diambil dari Clio RS. Ini akan menyaksikan pertarungan antara Megane RS dan Honda Civic Type-R terhenti setakat ini dengan Megane naik ke persaingan kategori pacuan empat roda menentang Ford Focus RS dan Volkswagen Golf R manakala Civic-R kekal sebagai kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas dalam kategorinya.

Akhir sekali, walaupun Megane RS buat masa ini hanya hadir dalam model hatchback tiga pintu, sumber tersebut mengesahkan Megane RS selepas ini hanya dijual dalam bentuk badan hatchback lima-pintu, dengan varian tiga-pintu digugurkan terus dalam barisan model. Megane RS ini dilaporkan akan membuat penampilan sulungnya pada suku kedua 2017, dijual pada harga sekitar 30,000 pound sterling (RM168k).

GALERI: Renault Megane IV GT