Pan-Borneo-Highway

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo peringkat negeri Sabah pada 23 April ini.

Menurut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman projek sepanjang 706 kilometer bernilai kira-kira RM12.8 bilion berkenaan akan dilancarkan di Jalan Donggongon-Papar, laporan Bernama.

“Kita akan lancarkan projek ini di Jalan Donggongon-Papar yang merupakan pakej pertama yang akan dibangunkan di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo dan akan dirasmikan perdana menteri,” katanya.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah lalu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Jalan Donggongon-Papar sepanjang 11.7 kilometer merupakan pakej awal yang akan dibina di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Menurutnya, dua lagi pakej awalan di bawah projek berkenaan ialah Jalan Tawau-Semporna dari Km45 ke Km49.7 dan Jalan Lahad Datu Bypass sejauh 7.1km.

Projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239km dari Sarawak ke Sabah bernilai RM27 bilion dijangka siap menjelang tahun 2025.