Honda_Brio-2_BM

Lagi berita langsung dari Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016, Honda Indonesia telah melancarkan Honda Brio Satya facelift ketika acara tersebut sedang berlangsung. Ia tidaklah begitu memeranjatkan kerana untuk pasaran India, Honda Amaze (nama Satya di India) versi facelift telah pun dilancarkan di sana awal bulan ini.

Hatchback kecil lima-pintu ini diberikan muka yang lebih comel dari sebelum ini dengan rekaan baharu pada bampar dan gril hadapan. Bahagian belakang Brio ini masih kelihatan sama kecuali rekaan baharu yang di buat pada lampu belakang. Brio juga kini dilengkapi dengan roda aloi 14-inci baharu, manakala untuk varian RS yang hanya diperkenalkan bermula versi facelift ini, ia turut dilengkapi dengan skirt sisi, lampu hadapan projektor dengan lampu nyalaan siang LED, cermin sisi boleh-lipat berkuasa dengan lampu isyarat membelok LED, kemasan kaca bahagian belakang dan juga lencana RS, selain dari roda aloi bersaiz 15-inci.

Beralih ke bahagian dalaman, Brio menerima rupa kabin baharu sepenuhnya. Papan pemuka kelihatan lebih segar dengan rekaan seiras Honda Jazz, yang menampilkan rupa yang lebih kontemporari dan premium. Turut kelihatan panel kawalan penghawa dingin digital diletakkan ditempat sepatutnya dan juga butang mod ECON.

Honda_Brio-23_BM

Varian E dan S dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN, manakala untuk varian RS ia diganti dengan skrin sesentuh bersaiz 6.2 inci. Kesemua varian kecuali varian asas S menerima butang kawalan audio di jejari sebelah kanan roda stereng. Satya E dan S dilengkapi dengan kemasan dalaman kabin berwarna hitam dengan tempat duduk berwarna beige. Sementara untuk varian RS, ia hadir dengan kabin berwarna hitam sepenuhnya dengan sulaman benang oren, serta warna badan eksklusif Passion Red Pearl yang kelihatan hampir seperti oren.

Prestasi kereta kecil ini turut diberi nafas baharu. Enjin 1.2 liter empat silinder SOHC i-VTEC masih lagi kekal, tetapi kuasanya telah dipertingkat – daripada 88 PS/ 109 Nm pada model terdahulu, meningkat kepada 90 PS/ 110 Nm pada versi baharu ini. Enjin yang diberi penarafan Euro 4 tersebut dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada CVT automatik Earth Dream Technology baharu ataupun kotak gear lima-kelajuan manual. Brio diklasifikasikan sebagai “Mobil Hijau Murah” (LCGC) di Indonesia.

Honda Brio facelift dijual pada harga bermula Rp. 129.6 juta (RM38,397) untuk Satya manual hingga Rp. 174.7 juta (RM51,733) untuk varian RS CVT. Pilihan aksesori dari Modulo juga disediakan yang terdiri daripada visor pintu, kemasan tip ekzos, kemasan krom pada pembuka pintu, kemasan menyala pada side-step serta kemasan krom pada cermin sisi.

GALERI: Honda Brio facelift di IIMS 2016

GALERI: Honda Brio RS di IIMS 2016