IMG_2267

Setelah pelancarannya untuk peringkat rantau Asia Tenggara berlangsung bulan lalu di Bangkok International Motor Show 2016, hari ini Motor Image Malaysia secara rasminya melancarkan Subaru Forester facelift 2016.

Tiga varian ditawarkan dalam barisan model Forester facelift iaitu 2.0i dan 2.0i-P yang dibuat secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Segambut, manakala varian 2.0 XT yang lebih berkuasa diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Seperti yang diberitahu sehari selepas pelancarannya di Bangkok, model asas Forester 2.0i akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM144,948, diikuti dengan 2.0i-P pada RM154,488. Model CBU 2.0i-L sebelum ini dijual pada harga RM163,590 menyaksikan versi facelift terbaharu 2.0i dan 2.0i-P ini lebih murah sebanyak RM18,642 dan RM9,102. Manakala untuk varian XT pula ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM211,729, menyaksikan peningkatan harga sebanyak RM2,830. Tetapi untuk tempoh masa terhad, Motor Image menawarkan harga pengenalan istimewa iaitu RM139,800 untuk varian 2.0i dan RM151,800 untuk varian 2.0i-P

Subaru_Forester_20i_Ext-20

Pada bahagian hadapan, SUV ini tampil lebih segar dengan lampu hadapan LED penuh (varian asas 2.0i hanya dilengkapi lampu projektor biasa) yang menampilkan ciri Responsif Stereng dimana ia akan menyuluh mengikut arah putaran stereng. Turut berubah adalah rekaan pada gril hadapan baharu yang menempatkan logo Subaru pada bahagian tengah, bampar hadapan dan lampu kabus rekaan baharu, dan juga lampu nyalaan siang LED.

Begitu juga pada bahagian belakang yang menyaksikan Forester menerima lampu belakang berbentuk-C baharu dan dipadankan dengan bampar belakang yang turut direka semula.

Beralih ke bahagian sisi, varian 2.0i dan 2.0i dilengkapi roda aloi dengan motif bilah kemasan hitam kilat dan aloi digilap bersaiz 17-inci dibaluti tayar 225/60R17. Manakala untuk varian 2.0XT pula dilengkapi dengan roda aloi kemasan hitam kilat dan aloi digilap bersaiz 18-inci dibaluti tayar 225/55R18.

Kesemua varian mempunyai lebar 1,795 mm dan tinggi 1,735 mm, tetapi mempunyai panjang yang berbeza, kerana perbezaan pada bahagian hadapan. Varian 2.0i yang mempunyai panjang keseluruhan 4,610 mm menerima bampar hadapan facelift seperti yang disaksikan di Tokyo, manakala untuk 2.0i-P dan XT, kedua-duanya mempunyai panjang keseluruhan 4,595 mm kerana berkongsi rekaan pada hadapan yang sama.

Bahagian dalaman Forester masih lagi kelihatan seiras dengan model terdahulu. Kemasan dalaman menerima lebih banyak balutan kulit, plastik hitam berkilat dan juga panel krom pada bahagian seperti panel pintu, papan pemuka, liang penghawa dingin dan panel kawalan tengah. Balutan kulit adalah standard untuk semua varian. Kadar NVH juga telah dipertingkat selepas crossover ini dilengkapkan dengan material kedap bunyi tambahan dan tingkap yang lebih tebal.

Paparan instrumen kini lebih segar dengan paparan grafik kini dipaparkan pada skrin TFT LCD berwarna. Pada papan pemuka juga telah dilengkapkan dengan paparan pelbagai info berwarna. Skrin sesentuh unit utama Kenwood DIN berkembar menggantikan unit audio sebelum ini, juga bertindak sebagai skrin kamera undur. Varian tertinggi 2.0XT turut dilengkapi dengan sistem audio premium Harman Kardon.

Varian 2.0i dan 2.0i-P dijana oleh enjin FB20 bentangan boxer 2.0 liter DOHC tanpa sistem induksi paksaan berkuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin baharu dengan rekaan strok yang lebih panjang dan blok enjin yang lebih ringan membolehkan ia mencapai penggunaan petrol 7.9L untuk setiap 100 km.

Subaru_Forester_20i_Int-14

Untuk varian XT pula, ia dibekalkan dengan enjin boxer FA20 2.0 liter didesak dengan pengecas turbo dan sistem pancitan bahan api terus, membolehkan enjin tersebut menjana sejumlah 241 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,400 rpm hingga 3,600 rpm. Kedua-dua jenis enjin ini menyalurkan kuasa kesemua roda Forester melalui kotak gear Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive (S-AWD) Subaru.

Sistem X-Mode Subaru dilengkapi pada kesemua tiga varian Forester. Sistem tersebut akan mengawal enjin, transmisi, sistem AWD, brek dan lain-lain sistem selepas pemandu menekan hanya satu butang yang diletakkan di depan tuil gear untuk membantu mengawal kenderaan ketika menempuh permukaan jalan yang sukar. Sistem tersebut berfungsi pada kelajuan bawah 40 km/j, dan disertakan dengan fungsi Kawalan Penurunan Bukit yang berfungsi sekali ketika X-Mode diaktifkan.

Selain dari ciri X-Mode, sistem suspensi juga telah ditingkat taraf untuk meningkatkan lagi kebolehan pengendalian Forester ini. Cross member hadapan direka dengan lebih keras, spring dan penyerap hentak baharu juga di tala semula serta jajaran roda belakang telah ditukar untuk memastikan Forester memberikan pengendalian yang lebih hebat.

Subaru_Forester_20i_Int-7

Roda stereng rekaan baharu dilengkapi dengan butang mod respon pendikit yang boleh dipilih dalam mod Si atau Intelligent, juga dilengkapi dengan butang Kawalan Kelajuan (hanya untuk varian 2.0i-P dan XT) dan juga penukar gear. Tuil gear turut diberi penampilan baharu, begitu juga pedal kawalan aluminium.

Ciri eksklusif lain yang disertakan pada 2.0i-P dan XT adalah tempat duduk hadapan pemandu penumpang larasan empat-hala berkuasa (dengan fungsi memori). Tugas untuk memasukkan barang pada bahagian pintu tailgate belakang juga semakin mudah kerana Forester kini dibekalkan dengan pintu tailgate berkuasa lengkap dengan fungsi memori. Kunci Forester juga boleh dibuka tanpa kunci menerusi sistem akses kod PIN, yang membolehkan pemilik mengakses kereta mereka dengan hanya memasukkan PIN rahsia.

Untuk sistem keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin, sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA, Brake Overirde, dan sistem pedal keselamatan. Kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

Forester facelift 2016 datang dengan lima pilihan warna iaitu Pure White, Silver Metallic, Dark Grey Metallic, Sepia Bronze dan Obsidian Black Metallic. Setiap pembelian disertakan sekali dengan waranti lima tahun atau 100,000 km yang mana sampai dahulu, dan servis berkala percuma tiga tahun atau 60,000 km yang mana sampai dahulu.

Menurut Glenn Tan, Pengarah Eksekutif Tan Chong International, Forester disasarkan akan dijual sebanyak 500 unit sebulan. Malah katanya, unit CKD yang dihasilkan di Malaysia, turut diimport ke Thailand. Ketika ditanya, adakah Forester 2.0 XT akan dipasang di negara ini, jawabnya, “Kos untuk pemasangan adalah sangat tinggi dan kami belum mempunyai perancangan ke arah itu buat setakat ini.”