Chana Era Star II varian pikap dan van dilancarkan untuk pasaran Malaysia – harga bermula RM49k

Chana-Era-Star-II-van-08_BM

Berjaya China Motors telah melancarkan trak pikap dan van Chana Era Star II. Untuk versi pikap, ia didatangkan dengan pilihan cab tunggal dan cab berkembar dan boleh dipilih dalam enam varian iaitu badan kayu, badan besi, luton, van pasar malam dan kafe bergerak. Untuk Chana Era Star II versi van pula ia boleh dipilih dalam varian van panel penuh atau van semi-panel.

Untuk model pikap cab tunggal, ia diukur dengan panjang 4,560 mm, manakala untuk model cab berkembar pula ia diukur lebih panjang dengan ukuran 4,660 mm. Ukuran dimensi lain adalah sama untuk kedua-dua varian cab iaitu lebar 1,620 mm, tinggi 1,890 mm dan jarak roda 2,900 mm. Dek pada cab tunggal pula diukur dengan dimensi panjang 2,750 mm dan dan lebar 1,520 mm, manakala lebar dek pada model cab berkembar adalah sama tetapi ia diukur sedikit pendek dengan ukuran 2,060 mm.

Berat bersih varian cab tunggal ditimbang dengan 2,150 kg berkeupayaan membawa beban berkapasiti 950 kg. Manakala untuk varian cab berkembar pula, ia mempunyai berat bersih 2,135 kg dengan keupayaan membawa beban berkapasiti 650 kg.

Untuk model van pula, kedua-dua varian Era Star II diukur dengan panjang 3,980 mm, lebar 1,620 mm dan tinggi 1,890 mm. Varian van panel penuh mempunyai ruang kargo dengan panjang keseluruhan 2,010 mm dan tinggi 1,370 mm serta dilengkapi dengan dua tempat duduk. Manakala untuk van semi-panel pula, ia dilengkapi dengan lima tempat duduk, dengan ruang kargo diukur mempunyai panjang 1,110 mm dan lebar 1,250 mm. Kedua-dua varian mempunyai jarak lebar keseluruhan 2,560 mm dan berat ditimbang pada 1,730 kg.

Kesemua model Era Star II dilengkapkan dengan sistem suspensi bebas jenis topang McPherson di hadapan, dan untuk tujuan kerja berat, suspensi belakang dibekalkan dengan sistem suspensi jenis spring dedaun. Kesemua model juga dilengkapi dengan sistem brek konvensional cakera di hadapan dan dram di belakang dibantu unit servo brek jenis vakum.

Kelengkapan standard yang dipadankan pada van Era Star II adalah termasuk bampar berwarna hitam, gril hadapan berwarna perak, lampu kabus hadapan, cermin sisi dengan warna badan, lampu brek ketiga dan lampu kombinasi belakang. Pada bahagian dalaman pula, van ini dilengkapi dengan tingkap kuasa di bahagian hadapan, penghawa dingin, unit radio dengan sambungan AUX dihubungkan kepada dua pembesar suara, lampu membaca (bahagian hadapan), kluster instrumen elektronik dan pelbagai lagi ciri lain.

Ciri yang dinyatakan pada van tadi turut dilengkapi pada varian trak pikap. Ciri lain yang turut ditawarkan pada varian pikap adalah termasuk tayar gantian, pemanas, pelapik kaki kotak kargo (bahagian tepi dan belakang), cangkuk kotak kargo, kerangka portal, karpet PVC, pengunci stereng dan pelbagai lagi.

Kedua-dua varian van dan pikap dijana oleh enjin petrol Euro 4 1.2 liter empat-silinder pancitan bahan-api pelbagai titik yang menghasilkan kuasa sejumlah 96 hp dan tork 120 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Kedua-duanya juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 40 liter, dan penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada kadar 6.5 liter untuk setiap 100 km perjalanan.

Untuk van Chana Era Star II ia dijual pada harga bermula RM49,142.81 untuk van panel penuh dan RM50,801.71 untuk varian van semi-panel. Chana Era Star II varian pikap pula dijual pada harga bermula RM53,407.96 (badan kayu) hingga RM58,890.81 untuk kafe bergerak. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran termasuk GST. Setiap pembelian Chana Era Star II disertakan sekali dengan perlindungan waranti selama tiga tahun/60,000 km (yang mana tiba dahulu).

GALERI: Van Chana Era Star II

GALERI: Trak Pikap Chana Era Star II

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required