PANDU UJI: Honda CR-V – kredibilitinya masih diyakini

20160324_0176

Setelah sedikit proses ‘penyegaran’ dilakukan pada Honda CR-V 2.0 2WD awal tahun ini, Honda Malaysia telah menjemput pihak media menyertai sesi uji pandu SUV tersebut dari Kuala Lumpur ke Ipoh. Malah turut bersama ialah Honda CR-V 2.4L 4WD yang telah dipertingkatkan dan dilancarkan semula setahun yang lalu.

Melihat pada bahagian luaran, kedua-dua varian CRV masih lagi menampilkan gril hadapan ‘Solid Wing‘ Honda. Rekaan pada bampar hadapan dan belakang turut tidak berubah.

Kesemua varian menerima lampu hadapan projektor HID bersama lampu nyalaan siang LED, begitu juga dengan lampu isyarat membelok pada cermin sisi. Namun hanya varian 2.4L 4WD menerima sistem lampu dan penggilap cermin automatik serta penutup cermin sisi bersalut krom.

DSC_0051

Tiada perubahan pada bahagian roda di mana varian 2.0L 2WD masih menggunakan roda aloi 17-inci dibaluti tayar 225/65R17. Manakala model 2.4L 4WD masih dilengkapi dengan roda aloi dengan kemasan hitam dan aloi berkilat bersaiz 18-inci dibaluti tayar bersaiz 225/60R18.

Perubahan yang ketara disaksikan pada bahagian dalaman di mana varian 2.0L 2WD kini menerima tempat duduk balutan kulit sepenuhnya, tetapi untuk varian 2.4L kekal tanpa apa-apa perubahan.

Satu lagi ciri yang dilengkapi pada varian 2.4L 4WD yang tiada pada varian lain yang lebih rendah ialah sistem Honda Lane Watch. Setakat ini, hanya CR-V 2.4L dan Accord 2.4L dilengkapi dengan sistem ini dalam barisan model Honda pasaran Malaysia.

Sistem ini membantu pemandu untuk memberikan gambaran yang lebih jelas di bahagian kiri kenderaan setelah isyarat membelok ke kiri dinyalakan melalui unit skrin sistem infotaimen yang dihubungkan dengan kamera yang dipasang di bawah cermin sisi sebelah kiri.

Varian 2.4L 4WD turut menerima skrin sesentuh infotaimen bersaiz tujuh-inci (model 2.0L 2WD hanya dilengkapi unit audio standard), sambungan HDMI, sistem navigasi (tiada pada varian 2.0L 4WD), audio Bluetooth, butang kawalan pada roda stereng, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-cara, penghawa dingin dua-zon automatik serta liang penghawa dingin bahagian belakang.

Paparan TFT LCD bersaiz 5-inci i-MID signatur Honda yang memberikan informasi jarak perjalanan, penggunaan bahan api, informasi sistem audio dan pelbagai maklumat lain masih lagi kekal diletakkan di posisi bahagian atas unit skrin sesentuh sistem infotainmen.

Untuk keselamatan, varian 2.0L 2WD dan 4WD kekal dengan empat beg udara dan 2.4L 4WD kekal dibekalkan dengan enam beg udara. Sistem brek ABS dengan VSA, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan cagak Isofix adalah standard untuk semua varian.

Selain dari ciri-ciri tambahan yang dilengkapi, keistimewaan utama varian CR-V 2.4L tentulah pada enjin K24Z 2.4 liter DOHC i-VTEC yang menjana SUV ini. Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa 190 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 222 Nm pada takat 4,400 rpm. Kuasa tersebut dialirkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear lima-kelajuan automatik yang disertakan sekali dengan penukar gear pada stereng.

Butang mod ECON disertakan pada kesemua varian CR-V. Butang tersebut akan mengubah talaan enjin, kotak gear, dan penghawa dingin bagi membolehkan kecekapan bahan api menjadi lebih efisien ketika kuasa sepenuhnya dari enjin tidak diperlukan contohnya memandu dalam keadaan meredah kesekakan lalu lintas di tengah bandar.

Berbanding model 2.0 liter berkuasa hanya 155 PS/190 Nm, model 2.4 liter ini tidak mengalami kesukaran ketika memecut dari 80 km/j sehingga 140 km/j seperti model 2.0L. Prestasi enjin ini boleh dikatakan agak linear ketika memecut dan membawa beban badan lebih dari 1.5 tan.

Namun untuk pemanduan dalam konvoi ini yang memerlukan pecutan segera tanpa diduga bagi mengekalkan jarak dengan kereta yang mengetuai kumpulan, saya lebih suka menggunakan mod manual kerana penurunan gear boleh dilakukan lebih cepat, berbanding mod automatik yang mengambil masa mungkin dalam satu ke dua saat untuk kotak gear tersebut ‘berfikir’ sebelum menurunkan gear setelah pedal pendikit ditekan secara agresif.

Kami perlu merentasi sedikit laluan off-road yang ringan kerana semasa menuju Ulu River Lodge, Gopeng di mana lokasi tersebut terletak di kawasan yang sedikit pedalaman. Laluan tersebut membuktikan CR-V bukan omongan kosong. Malah dalam corak perjalanan sebegini, CR-V masih lagi memberikan keselesaan yang optimum.

Saya juga sempat menguji tahap praktikaliti ruang kargo Honda CR-V. Berbanding pesaingnya yang lain, pintu ‘tailgate’ dan lantai ruang kargo SUV ini direka lebih rendah. Ini membuatkan ruang tersebut mempunyai kapasiti sebesar 589 liter, jauh lebih besar dari pesaingnya memandangkan ia lebih tinggi dan boleh memuatkan barang yang lebih besar.

Untuk rujukan, Nissan X-Trail mempunyai ruang kargo berkapasiti 550 liter, manakala Mazda CX-5 pula mempunyai kapasiti 404 liter. Bukan itu sahaja, kedudukan bukaan pintu tailgate yang rendah itu juga membolehkan proses memasukkan barang yang berat ke dalam SUV dilakukan dengan lebih mudah.

Satu lagi rekaan bijak yang melibatkan praktikaliti pada CR-V ialah tempat duduk belakangnya yang boleh dilipat dengan satu langkah sahaja. Tanpa bantuan individu lain, anda hanya perlu menarik satu tuil di bahagian belakang dan kemudian tempat duduk barisan kedua tersebut akan terlipat rapi dengan nisbah 60:40. Kini anda mempunyai ruang kargo berkapasiti 1,156 liter, cukup untuk memuatkan sebuah peti sejuk satu pintu dan beberapa barangan lain kedalam SUV segmen-C ini.

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, tentunya bahagian tempat duduk belakang antara yang diambil berat. Tempat duduk belakang CR-V mampu untuk menempatkan tiga orang dewasa bersaiz sederhana dengan selesa. Ia menawarkan ruang kelegaan kepala dan kaki yang cukup luas dan tidak terasa ‘lemas’ ketika perjalan jarak jauh. Dan tentunya liang penghawa dingin untuk bahagian kabin belakang merupakan satu bonus yang menggembirakan penumpang terutamanya dalam suasana gelombang haba melanda negara sekarang.

Prestasi keselesaan untuk pemandu dan penumpang CR-V memang tidak dinafikan ketika melalui jalan luar bandar dan lebuh raya. Sepanjang laluan dari Tanjung Tualang ke Tanjung Malim, saya berkesempatan untuk menguji pengendalian CR-V 2.4L ini.

20160323_0283

Dalam kelas SUV segmen-C, CR-V antara yang memberikan pengendalian agak baik. Dibina berasaskan platform Honda Civic FB generasi ke-sembilan dengan sistem suspensi topang McPherson dibahagian hadapan dan sistem multi-link dibahagian belakang, dinamik CR-V adalah hampir kepada sebuah sedan kecuali dengan ketinggiannya membuatkan kadar olengannya sedikit terasa.

Stereng CR-V ini juga memberikan respon yang agak baik. Sistem stereng dengan bantuan kuasa elektrik tersebut terasa tidak terlalu ringan ketika melayan selekoh dan berupaya memberikan kestabilan ketika memandu pada kelajuan tinggi serta kebolehan membuat pusingan-U dengan radius pusingan 5.54 m.

Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, Honda CR-V generasi keempat ini masih lagi relevan. Untuk model 2.4L 4WD, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM 167,620.08, manakala untuk varian 2.0 4WD pula ia dijual pada harga RM 148,879.23. Varian 2.0L 2WD yang kini didatangkan dengan tempat duduk balutan kulit secara standard pula kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM138,754.83.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • KERETA SEWA SUBANG on May 10, 2016 at 2:53 pm

    crv… everlasting dari dulu sampai sekarang, takpernag mengecewakan

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required