Sekolah Teknikal Isuzu kini mula beroperasi – bakal lahirkan lebih ramai mekanik berkemahiran tinggi

ITS

Usaha Isuzu Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk menghasilkan lebih ramai mekanik mahir ke dalam pasaran kerja telah bermula menerusi pengambilan pertama para pelatih ke Sekolah Teknikal Isuzu di Shah Alam.

Lima orang perantis pertama Sekolah Teknikal Isuzu (ITS) daripada kumpulan perintis memulakan kursus selama enam bulan untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia – Tahap II (SKM II) pada akhir kursus tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka yang menyaksikan majlis pelaksanaan kursus itu di Pusat Pembangunan Isuzu (IDC) di Shah Alam baru-baru ini menyatakan bahawa, penubuhan Sekolah Teknikal Isuzu bertujuan membina asas yang lebih kukuh dalam menghasilkan mekanik-mekanik yang berkemahiran tinggi di dalam negara.

Menurut Matsuoka, program yang dilancarkan oleh Isuzu Malaysia itu bermatlamat meningkatkan kemampuan mekanik berkemahiran. Pada masa yang sama menambah baik tahap kecekapan pusat servis Isuzu.

“Melalui ITS dan sokongan Kementerian Sumber Manusia, kami harap dapat membangunkan satu tahap kecekapan baru dalam kalangan mekanik sebelum mereka memasuki pasaran tenaga kerja. Dengan pengembangan jenis produk dan peningkatan jumlah pengedar Isuzu di seluruh negara, penubuhan ITS akan mengukuhkan lagi komitmen Isuzu untuk menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang kepada para pelanggan,” kata Matsuoka.

Kursus ITS yang merangkumi kelas teori dan amali itu akan dijalankan selama enam bulan dengan menggunakan silibus yang dibangunkan oleh Isuzu Malaysia di bawah bimbingan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia. Ia melibatkan prinsip-prinsip asas operasi bengkel, sistem operasi kenderaan komersial, prosedur servis dan penyelenggaraan serta kemahiran baik pulih (overhaul) komponen.

Bahagian terakhir program itu melibatkan latihan amali di bengkel-bengkel Isuzu. Para perantis akan didedahkan dengan persekitaran pekerjaan dalam dunia sebenar di bengkel-bengkel komersial, memantapkan lagi prosedur kerja, mengurus kehendak pelanggan dan mengendalikan operasi alat ganti.

Menurut Ketua Latihan & Pembangunan Kemahiran Isuzu Malaysia, Syaiful Azuan, objektif Sekolah Teknikal Isuzu adalah untuk menghasilkan kakitangan jualan dan selepas jualan yang berkemahiran tinggi. Selain mampu meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dengan lebih efektif.

“Sebagai pengeluar kenderaan bertaraf dunia, sudah menjadi matlamat kami untuk menghasilkan kakitangan generasi seterusnya yang berkemahiran tinggi menerusi Sekolah Teknikal Isuzu. Tahap persijilan kami kini berada di tahap kedua dan ketiga. Kami harap apabila program ini semakin matang, kami akan mampu menawarkan tahap latihan kemahiran yang lebih tinggi serta membina satu asas profesional untuk para mekanik tempatan,” kata Syaiful.

Mereka yang berminat menyertai Sekolah Teknikal Isuzu ini perlu memiliki kredit SPM dalam mata pelajaran matematik dan sains. Untuk maklumat lanjut berkaitan program latihan ini, mereka boleh menghubungi Sekolah Teknikal Isuzu menerusi laman web Isuzu Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required