Nippon Paint lancar palet warna trend automotif 2016/2017 untuk Asia, ramal warna trend akan datang

Nippon-Paint-Asian-Palette-2016-2017-5_BM

Nippon Paint secara rasminya telah melancarkan Warna Trend Automotif tahun 2016/2017 untuk asia, iaitu palet warna yang menjangkakan warna yang akan menjadi trend untuk industri automotif untuk dua tahun yang akan datang. Carta warna tersebut akan digunakan sebagai rujukan untuk pengeluar kereta dan motosikal (contohnya Proton dan Perodua) dan juga mereka yang terlibat dalam industri cat badan kenderaan seperti bengkel mengecat dan kedai menjual cat kenderaan.

Cat adalah antara faktor yang menaikkan rupa sesebuah kenderaan, dan pereka kereta menghabiskan banyak masa untuk menyesuaikan warna pada rekaan yang dibuat mereka agar ia kelihatan betul-betul menyerlah.

Nippon Paint adalah antara nama besar dalam penghasilan cat kenderaan. Antara hasil yang terkenal dari jenama cat dari Jepun ini termasuklah warna signatur untuk rekaan ‘Kodo Soul of Motion‘ Mazda iaitu Soul Red, yang dihasilkan dengan empat lapis cat metalik yang menggunakan proses refleksi pelbagai lapisan untuk memberikan hasil akhir sedemikian. Niipon Paint juga berperanan sebagai pembekal cat untuk Proton dan Perodua, dan juga untuk kilang pemasangan tempatan Toyota, Honda, Nissan, Hyundai dan Kia.

“Sebagai peneraju dalam innovasi warna dan fokus kami dalam pasaran Asia, kami di Nippon Paint memperkenalkan warna-warna ini yang akan menjadi trend untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata penolong pengurus besar permasaran Alex Young.

“Kami faham yang kereta bukan sahaja direka sebagai pegangkutan semata-mata tetapi ia juga mencerminkan personaliti dan melambangkan kejayaan kita dalam kehidupan. Sama seperti cat hiasan, warna untuk automotif juga boleh dijadikan platform untuk menunjukkan ekpresi diri dan ini merupakan perkara yang penting untuk pengguna kami.”

Senarai warna 2016/2017 dibuat berdasarkan Bengkel Ramalan Warna ChromaZone Asia Pasifik yang diadakan oleh Nippon Paint dengan kerjasama Colour Marketing Group iaitu organisasi yang ditubuhkan untuk mengenalpasti trend warna dan rekaan. Sejumlah 80 orang professional dalam bidang rekaan dari seluruh Asia termasuk mereka dari Proton dan Perodua telah menghadiri bengkel yang diadakan untuk menghasilkan palet yang benar-benar untuk masyarakat Asia.

Nippon-Paint-Asian-Palette-2016-2017-41_BM

Untuk 2016 dan 2017, palet tersebut terdiri dari 39 warna kemasan akhir solid, metalik, kristal dan mutiara, yang diasingkan ke dalam tema berbeza iaitu Wonder-Lust, New Eco dan We Are One – yang mana ia akan menyaring budaya masyarakat Asia, cara hidup dan trend ke dalam palet warna yang unik untuk Asia. Sebahagian warna-warna yang akan ditawarkan untuk model-model Proton dan Perodua akan datang juga terkandung dalam palet tersebut.

Tema Wonder-Lust dikatakan akan mencerminkan “sifat semangat dan bertenaga” pemiliknya, menampilkan warna yang memberikan keseimbangan antara tenaga dan keranggian, melambangkan keyakinan dan gaya hidup yang aktif.

Manakala untuk New Eco pula, ia bersesuaian dengan namanya, yang akan memberikan rupa paras yang lebih bersifat mesra alam. Palet untuk tema ini menggabungkan warna gelap, tona yang mencerminkan alam sekitar seperti biru, hijau dan putih yang didakwa Nippon Paint akan menghasilkan barisan warna yang lebih matang untuk kereta mewah dan hibrid.


Cat clear Nippon Paint Nax Crystal 9905 (kiri) berbanding cat clear biasa clear coat (kanan)

Akhir sekali, We Are One yang dikhaskan untuk menunjukkan kontras antara sifat individu dan perhubungan – mencerminkan kebangkitan teknologi sebagai alat untuk menghubungkan masyarakat – dan menampilkan warna yang lebih konservatif untuk mengatasi trend dan musim. Oleh itu, tema ini merupakan tema yang paling versatil berbanding yang lain.

“[Kami percaya] yang barisan warna automotif kami adalah lebih dari sekadar warna. Ia memainkan peranan penting disebalik teknologi cat kami untuk memberikan warna yang memukau dengan fungsi yang terbaik,” kata Young.

Selain dari palet warna 2016/2017, Nippon turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan cat clear Nax Crystal 9905 dengan teknologi CyGlaz. Disasarkan untuk pasaran cat semula, ia menampilkan struktur molekul yang lasak di dalam ketumpatan yang tinggi dan dihubungkan secara bersilang, menghasilkan lekatan cat filem yang tinggi membolehkan ia lebih kalis calar, bahan kimia dan petrol, serta berkebolehan untuk pulih sendiri (seperti calar halus) dan kemasan berkilat seperti imej cermin yang lebih lembut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required