Kia-Sorento-Drive-Jordan-21

Kia Sorento generasi ketiga mungkin akan dilancarkan bila-bila masa sahaja tidak lama lagi, berikutan jangkaan yang diberikan sebelum ini iaitu pada Mei 2016. Kami baharu sahaja diberikan harga jangkaan dari penasihat jualan Naza Kia Malaysia yang mengatakan varian diesel akan dijual pada harga permulaan RM158k dan RM168k/RM178k untuk varian berbeza model petrol 2.4L. Sejumlah tiga varian bakal membarisi senarai pilihan model Sorento di Malaysia.

Kehadiran model diesel dalam pasaran Malaysia merupakan berita yang dialu-alukan, memandangkan generasi Sorento XM terdahulu yang hanya hadir dengan enjin petrol di Malaysia, membolehkan Hyundai Santa-Fe menggunakan enjin diesel ‘R’ 2.2 liter CRDi (berkuasa 197 hp/436 Nm pada Hyundai) dari Korea tersebut secara bersendirian.

Walaubagaimana pun, tidak seperti Santa Fe yang meletakkan varian diesel sebagai varian tertinggi, Kia nampaknya mengambil langkah bertentangan dengan meletakkan varian diesel sebagai varian rendah dan petrol sebagai varian tetinggi.

Walaupun tiada lagi contoh enjin CRDi tersebut dipasangkan pada mana-mana model Sorento di Malaysia sebelum ini, tetapi ianya telah terbukti pada dua generasi terdahulu Hyundai Santa Fe pasaran Malaysia. Kedua-dua enjin diesel dan petrol tersebut bakal dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter.

Kia Sorento generasi ketiga mula diperkenalkan di Korea pada Ogos 2014. Ia mempunyai dimensi yang sangat besar berbanding SUV segmen-C yang lain. SUV ini diukur 4,780 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda keseluruhan 1,890 mm. Jika diambil Honda CR-V sebagai kayu ukur, Sorento adalah 190 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan mempunyai jarak roda 160 mm lebih panjang.