Menurut status yang dimuat naik menerusi laman Facebook ‘Mazda – Sales Promo & News’, Mazda CX-9 SkyActiv-G 2.5T serba baharu dijangka tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Seberapa cepat? Tidak pula dinyatakan menerusi status tersebut, tetapi SUV tujuh-tempat duduk yang juga baru tiba di pasaran Australia boleh dijadikan sebagai petunjuk.

Walau bagaimana pun, menurut pengedar Mazda tersebut, generasi kedua CX-9 ini mungkin akan tiba di Malaysia pada suku ke-empat 2016 ini, iaitu antara bulan Oktober, November atau Disember.

Malah menurut pengedar yang sama, tempahan bagi CX-9 itu telah pun dibuka, cuma kita belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Mazda Malaysia mahu pun Bermaz. Bagi spesifikasi untuk Malaysia juga, belum ada perincian rasmi mengenainya.

Buat masa ini, CX-9 generasi pertama yang masih dijual hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja, dan menurut pengedar terbabit, ia juga sama dengan model generasi kedua ini. Di mana varian spesifikasi tertinggi yang akan ditawarkan. Berkenaan dengan harganya, dijangkakan antara RM230,000 hingga RM250,000. Di mana bagi CX-9 generasi pertama masa kini dijual pada harga RM288,380.91 (harga atas jalan tanpa insurans).

Malah dijangkakan CX-9 generasi kedua ini adalah diimport sepenuhnya dari kilang produksi Mazda di Hiroshima, yang juga membekalkan model tersebut ke pasaran Australia.

GALERI: Mazda CX-9 2017 (spesifikasi USA)