Hitachi Super Express

Malaysia dan Singapura dijangka akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Julai ini, lapor New Straits Times.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan projek rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu telah merangsang keterujaan di seluruh dunia. “Kita jangkakan MoU dengan Singapura akan ditandatangani Julai ini. Itu sasarannya. Ini merupakan perubahan besar pada sistem pengangkutan negara. Ia bermaksud perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa satu setengah jam, ” kata beliau.

HSR-stations-proposed

Najib juga menyatakan projek HSR tersebut termasuk dalam salah satu projek yang dijalankan di Malaysia untuk meningkatkan infrastruktur dalam negara dan menjana ekonomi selain dari projek Lebuhraya Pan-Borneo.

NST juga melaporkan tiada lagi perincian penuh dari PM berkenaan majlis menandatangani MoU projek tersebut. Beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dijangka akan menyaksikan majlis berkenaan di Kuala Lumpur, namun tarikh sebenar masih lagi belum diumumkan. MoU berkenaan juga akan memperincikan rundingan perjanjian utama untuk perancangan, pembangunan, pelaksanaan dan operasi HSR antara dua ibu negara.