Isuzu D-Max Beast edisi terhad dilancar – hanya 360 unit, 2.5L dan 3.0L, harga bermula RM120k – RM128k

Isuzu-D-Max-Beast-8

Isuzu Malaysia baharu sahaja melancarkan trak pikap edisi terhad Isuzu D-Max Beast sebentar tadi. Trak pikap edisi terhad ini hanya dihasilkan sebanyak 360 unit, menjadikannya ia sebuah jentera yang eksklusif.

D-Max Beast masih lagi mengekalkan ciri-ciri asas D-Max varian tertinggi tetapi dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan dan aksesori ‘edisi-terhad’ bagi meletakkannya pada tahap tersendiri.

Pada bahagian luaran, boleh dilihat D-Max Beast tampil dengan rupa keseluruhan yang lebih garang dan agresif. Trak pikap ini ditawarkan dengan hanya warna Magnum White dan Titan Silver sahaja, digabungkan dengan kemasan hitam berkilat pada pelindung bampar hadapan. Keseluruhan trim krom pada D-Max biasa diganti dengan dengan kemasan hitam berkilat pada model Beast ini.

Isuzu-D-Max-Beast-38

Kemasan lain yang turut diwarnakan dengan warna hitam termasuk rel bumbung, gril hadapan, penutup cermin sisi, kemasan ruang roda dan juga bampar belakang. Kemasan berwarna hitam yang unik juga dilengkapkan pada kedua-dua belah lampu hadapan.

Trak pikap edisi terhad ini juga turut dilengkapi dengan pelekat ‘BEAST’ pada bahagian sisi dan pintu tailgate belakang serta pemegang nombor pendaftaran ’Beast’ edisi terhad.

Antara ciri lain yang masih kekal sama seperti D-Max varian tertinggi adalah lampu hadapan sistem Elipsoid, lampu nyalaan siang LED, dan lampu belakang LED.

Bahagian dek belakang Beast menerima ‘bar kuku’ pada bahagian sisi, penutup dan juga spoiler dek sama seperti yang terdapat pada D-Max Diablo edisi terhad.

D-Max Beast dilengkapi dengan roda aloi istimewa ‘Ravenous’ berdiameter 17-inci pelbagai jejari dengan kemasan hitam. Roda-roda aloi ini dibaluti dengan tayar bersaiz 255/65R17.

Bahagian dalaman, Beast diberi dominasi kemasan berwarna kelabu gelap. Kesemua tempat duduk menerima balutan kulit premium itali dua ton, manakala bahagian upholstery lain seperti roda stereng tiga jejari dan perehat tangan tengah hadapan turut menerima balutan kulit. Beast juga menerima set karpet edisi terhad istimewa.

Panel instrument pula dilengkapi dengan skrin paparan pelbagai informasi TFT e-Lumax. Manakala untuk sistem infotaimen, trak pikap ini dilengkapi dengan skrin sesentuh Kenwood dengan sistem DVD beserta sistem audio BONGIOVI Acoustic.

Isuzu-D-Max-Beast-34

Ciri lain yang turut terdapat pada bahagian dalaman termasuk sistem kunci pintu berpusat automatik dengan penderia kelajuan, tingkap berkuasa dengan sistem anti-sekatan pada bahagian pemandu dan juga bendul sisi dengan lampu berlogo Isuzu.

Hanya varian 3.0L ditawarkan dengan sistem penghawa dingin automatik manakala untuk varian 2.5L, ia hanya dilengkapi dengan sistem penghawa dingin manual.

Trak pikap edisi terhad ini masih dikuasakan dengan dua varian enjin yang sama seperti D-Max biasa. Enjin turbodisel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm menjana varian 2.5L. Manakala varian 3.0L, ia dijana dengan enjin turbo diesel 3.0 liter 4JJ1-TCX VGS berkuasa 177 PS dengan tork maksima 380 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm.

Isuzu-D-Max-Beast-9

Kedua-dua varian enjin hanya dilengkapi dengan pilhan transmisi automatik lima-kelajuan automatik dengan mod manual, tetapi tanpa penukar gear di roda stereng. Sistem pacuan empat roda juga tidak berubah dengan suis pemilih jenis putaran kekal diletakkan pada bahagian belakang tuil gear.

Untuk ciri keselamatan, Isuzu D-Max Beast dilengkapi dengan dua beg udara, brek ABS dengan sistem EBD dan BA, kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Isuzu D-Max Beast varian 2.5L di jual pada harga RM119,559.44 manakala untuk varian 3.0L dijual pada harga RM127,547.56. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Trak pikap ini juga dilindungi dengan waranti pengeluar tiga tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required