Dunlop-RoadTrekker-RT5-and-MaxGrip-AT5-launch-01_BM

Continental Tyre PJ Malaysia telah melancarkan dua tayar Dunlop 4×4 baharu iaitu Dunlop Roadtrekker RT5 yang sesuai untuk SUV dan trak pikap serta Dunlop MaxGrip AT5 yang hanya sesuai untuk trak pikap.

Menurut Cameron Wilson, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, tayar-tayar baharu ini direka dan diproduksi di kilang Continental Alor Star, Kedah dan dibuat khas berdasarkan kondisi jalan raya Malaysia. Tayar-tayar baharu ini juga menggantikan siri tayar-tayar RT2 dan AT2 sebelum ini, yang telah berada dalam pasaran sejak tujuh tahun lalu.

Dunlop Roadtrekker RT5 merupakan tayar yang diklasifikasikan sebagai Highway Terrain di mana penggunaannya adalah 80% hingga 90% pada permukaan jalan biasa. Kompaun silika bunga tayar ini terdiri daripada gabungan silika dan karbon hitam, yang dikatakan membantu untuk meningkatkan cengkaman dalam keadaan basah, jarak membrek yang lebih dekat, jangka hayat yang lebih panjang serta penggunaan bahan api yang lebih cekap. Bentuk kontur yang dilebarkan juga memberikan kehausan yang lebih rata.


Dunlop RoadTrekker RT5

Tayar ini juga mempunyai dua saliran air khas untuk ‘membuang’ air lebih cepat dan cekap, seterusnya mengurangkan aquaplaning ketika meredah lopak air pada kelajuan tinggi. Blok bunga tayar yang lebih besar dan keras pada bahagian tengah membolehkan RT5 mempunyai hubungan dengan permukaan jalan yang lebih baik, bagi mendapatkan pengendalian yang cekap. RT5 ditawarkan dengan lapan saiz pilihan dari saiz roda 15 hingga 17-inci.

Untuk Dunlop MaxGrip AT5 pula, ia merupakan tayar all-terrain di bina untuk permukaan jalan yang lebih lasak. Walau bagaimanapun, tayar ini turut dibina untuk memberikan prestasi terbaik untuk permukaan jalan biasa. Menurut Dunlop, AT5 direka untuk penggunaan “50% untuk jalan biasa dan 50% untuk kegunaan off-road“, bermaksud pengguna tidak perlu risau untuk menggunakannya untuk pemanduan seharian.

Salah satu ciri pada tayar ini adalah termasuk bilah blok zig-zag. Paten bunga tayar yang unik ini dikatakan membolehkan AT5 untuk mengcengkam dan membebaskan semula lumpur dan batu pada kelajuan yang agresif. Ini akan memberikan tayar tersebut daya cengkaman yang diperlukan untuk menggerakkan kenderaan ke hadapan walaupun pada permukaan jalan yang teruk. Tayar ini juga mempunyai kedalaman bunga tayar yang dioptimakan, menjadikan ia cukup tebal untuk memberikan lebih perbatuan yang lebih jauh serta kalis haba.


Dunlop MaxGrip AT5

Satu lagi ciri unik pada Max Grip AT5 ini, ia dilengkapi dengan gegelang pelindung dinding sisi. Gegelang pelindung tersebut “bertindak sebagai perisai” dan memastikan tayar ini selamat ketika berlanggar dengan pelbagai jenis batu. MaxGrip AT5 disediakan dalam enam saiz, bermula untuk roda berdiameter 15 hingga 16 inci.

Dunlop RoadTrekker RT5 dan MaxGrip AT5 kini boleh didapati di semua pengedar Continental Tyre Malaysia termasuk BestDrive Continental, Continental, Dunlop Klinikar dan Viking Stores. Menurut syarikat tersebut lagi, harga yang dicadangkan untuk tayar-tayar ini adalah bermula dari RM400 hingga RM450.