Kuala Lumpur Bicycle Path

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, pembinaan laluan basikal perlu diperbanyakkan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di stesen pengangkutan awam, lapor The Sun Daily. Menurut beliau langkah tersebut akan menggalakkan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif.

Ia juga akan mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran udara di ibu kota berkenaan. “jika lebih banyak laluan basikal dibina, ia akan memudahkan warga kota ke tempat kerja dengan berbasikal ke stesen bas dan LRT. Ia juga akan mewujudkan gaya hidup yang sihat kerana berbasikal boleh meningkatkan kecerdasan badan dan minda seseorang,” kata Ahmad Fauzi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan akan membelanjakan sejumlah RM5 juta untuk menambah bilangan laluan basikal di ibu kota berkenaan pada Ogos tahun lalu. Penambahan tersebut termasuk lagi dua laluan basikal dari Wangsa Maju ke Taman Melati sejauh empat kilometer dan penambahan lagi dua kilometer dari Wangsa Maju ke Taman Batu Muda.

Turut dilaporkan pelan asal projek tersebut turut melibatkan pemanjangan jaringan laluan basikal di Cheras dan Wangsa Maju. Langkah untuk mempromosi budaya berbasikal di kalangan rakyat Malaysia turut termasuk kempen ‘Kuala Lumpur Car-free Morning’ yang dianjurkan DBKL bermula awal tahun ini. Pada Ahad pertama dan ketiga setiap bulan, dari 7.30 hingga 9.30, beberapa batang jalan akan ditutup untuk kenderaan bermotor dan hanya dibuka untuk mereka yang berbasikal.