Promosi Raya PROTON

Sempena sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba, Proton telah mengumumkan promosi Hari Raya dan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma untuk pemilik kereta Proton di semua pusat servis yang sah di seluruh negara.

Promosi perayaan ini termasuk penjimatan-penjimatan menarik bagi setiap pembelian oleh semua pelanggan dan juga pemilik Proton. Pelanggan yang berminat untuk membeli kereta-kereta baharu terutamanya pada musim perayaan ini akan menikmati penjimatan sehingga RM3,000 bagi model-model 2016 yang terpilih, dengan ansuran bulanan serendah RM367 untuk sebuah Proton Saga.

Menurut Rohime Shafie, CEO PROTON Edar, “Kami telah menjalankan pemeriksaan keselamatan ini selama tiga tahun terturut-turut dan ini adalah kerana PROTON sentiasa mengutamakan keselamatan terutamanya semasa musim-musim perayaan dan percutian.

“Pemeriksaan keselamatan ini merangkumi pemeriksaan sistem brek, suspensi, tayar, bateri, bilah pengelap cermin, tali sawat, lampu dan paras cecair seperti minyak enjin, bendalir brek, bahan pendingin dan pencuci bilah. Di samping itu, kami juga menawarkan pelbagai diskaun ke atas alat-alat ganti terpilih seperti penyerap hentak, brek, klac dan tali sawat pemasaan.”

Selain daripada diskaun yang ditawarkan bagi alat-alat ganti yang tertentu, syarikat ini juga akan menawarkan diskaun khas ke atas kos pekerja untuk pelanggan yang menghantar kereta mereka ke pusat servis Proton. Kempen ini bermula dari 1 Jun hingga 31 Julai 2016 di semua cawangan Proton di seluruh negara.

Proton_Iriz_002_BM

Bagi warga kota yang tidak berkesempatan untuk menghantar kereta mereka bagi menjalani pemeriksaan, Proton juga akan berada di beberapa lokasi stesen minyak di seluruh negara seminggu sebelum menjelang Hari Raya agar pelanggan boleh mendapatkan pemeriksaan bagi kereta mereka sewaktu dalam perjalanan ke destinasi. Lokasi bagi stesen-stesen minyak tersebut akan diumumkan kemudian.

Malah Proton turut menyediakan kemudahan kepada pelanggannya, perkhidmatan ‘Ambil dan Hantar’ juga disediakan kepada mereka yang tidak berpeluang menghantar kereta mereka sebelum cuti perayaan terutama di kawasan Lembah Klang seperti Mutiara Damansara, Setapak, Bukit Maluri dan Seksyen 13, Petaling Jaya. Ini adalah untuk menggalakkan pelanggan dalam kawasan 5km daripada pusat servis untuk kereta mereka diambil dan diservis pusat servis berkenaan. Keutamaan akan diberikan kepada pelanggan yang telah membuat temujanji dahulu.