Lorry driveshaft 02

Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan kenyataan berhubung larangan kenderaan berat termasuk lori dan treler di jalan raya terutamanya di lebuh raya dan jalan persekutuan di seluruh negara selama empat hari pada tarikh yang telah ditetapkan.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, tarikh larangan itu adalah pada 2, 3, 9 dan 10 Julai ini, dan pihaknya berharap pemandu lori dapat mematuhi arahan berkenaan, laporan Sinar Harian.

Larangan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas pada dua hari sebelum dan selepas hari raya di mana pastinya orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung halaman dan kembali semula ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, kenderaan berat yang menghantar keperluan harian seperti lori minyak, makanan dan perubatan terkecuali daripada larangan yang telah dikeluarkan ini,” katanya.

Tambahnya, keputusan larangan sudah dimaklumkan kepada syarikat pengangkutan dalam pertemuan sebelum ini, dan ia tidak menjadi masalah kepada mana-mana syarikat atau pemandu lori untuk mematuhinya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkata pihaknya akan melakukan Operasi Hari Raya selama dua minggu, bermula pada 29 Jun dan berakhir pada 14 Julai.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memantau perkembangan itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu dan syarikat yang ingkar.