toll booth

PLUS Malaysia Berhad telah mengeluarkan kenyataan media berhubung tawaran rebat tol sebanyak 30% kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG di lebuh raya PLUS bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

Menurut Pengarah Urusannya, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Rebat tol tersebut ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada Hari-Hari Bukan Puncak iaitu 4, 8 dan 11 Julai bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari-hari tersebut.”

Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang ke kampung sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas berhari raya pada Hari-hari Bukan Puncak. Ia juga merupakan penghargaan PLUS kepada orang ramai yang terus menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya tersebut.

Menurut Noorizah, bagi perjalanan pada 4, 8 dan 11 Julai ini, pengguna yang membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 30% tersebut boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai di antara 15 Ogos 2016 sehingga 14 November 2016 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

PLUS akan turut mengambil pelbagai langkah lain untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang. Ia termasuklah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bakal diumumkan tidak lama lagi.