JPJ_roadblock_Motor

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan Op Khas Motosikal di sekitar ibu negara dan Selangor malam tadi. Daripada 1,136 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 965 daripadanya dikenakan saman pelbagai kesalahan, laporan laporan, Utusan Malaysia

Menurut Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Ziki A. Rahman, 20 kenderaan telah di­sita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala 593 kes melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 22 akta yang sama.

“Empat kenderaan dikenakan perintah di bawah Seksyen 61(1) iaitu notis arah periksa kenderaan selain dua kes di bawah peruntukan Seksyen 63(1) yang menyebabkan lesen memandu ditahan kerana masalah berkaitan teknikal kenderaan,” ujarnya.

Operasi yang bermula pukul 8 malam itu juga turut menahan lapan individu yang didapati positif dadah dan 40 kes di bawah Puspakom kerana kenderaan tidak diselenggara

“Kesalahan paling banyak dilakukan adalah lesen memandu kompeten (CDL) tamat tempoh dengan 183 kes direkodkan, diikuti 178 kes tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada insurans manakala 63 kes membabitkan pemandu tanpa lesen CDL,” katanya.

Menurut Md. Ziki, lain-lain kesalahan adalah 27 kes seperti tidak pamer ‘P’, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan kesalahan teknikal.

Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib memberi­tahu, pihaknya merekodkan 130 kes pemandu tiada lesen CDL diikuti 75 kes tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada insurans. Katanya, “Kita juga mengesan 59 kes lesen CDL tamat tempoh dan 28 kes kesalahan berkaitan nombor pendaftaran.”