SIC cari pelaburan RM1.13b, tambah kemudahan Litar Sepang, kurang bergantung kepada sukan permotoran

2016-Sepang-International-Circuit-renovation-18-850x567

Bagi tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) akan melaburkan sejumlah RM1.13 bilion bagi sebuah rancangan menyeluruh untuk mengubah Litar Sepang menjadi sebuah hab hiburan bersepadu.

The Sun melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, rancangan menyeluruh itu akan dijalankan di atas tanah berkeluasan 156 hektar milik SIC yang belum dibangunkan. Ia sebahagian daripada 270 hektar tanah SIC di Sepang, yang mana 114 hektar daripadanya sudah digunakan untuk membina litar, bangunan dan kemudahan lain.

“Kos jangkaan pembangunan itu nanti, yang turut akan melibatkan hab hiburan, hotel, aspek kejuruteraan serta kemudahan pemanduan lanjutan adalah sekitar RM1.13 bilion, dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM2.6 bilion serta 1,000 peluang kerja yang akan tersedia,” katanya.

Selepas ditutup tiga bulan bagi kerja-kerja naik taraf permukaan litar baharu, kini SIC sedang giat menaik taraf pula kemudahan di kawasan paddock bagi pasukan F1 dan MotoGP, pembinaan paddock baharu di bahagian selatan, mengemas kini litar go-kart serta membina kemudahan pemanduan lanjutan.

Memandangkan kos rancangan menyeluruh yang diperlukan adalah sangat besar, Razlan menjelaskan SIC akan menumpukan terlebih dahulu kepada projek-projek yang boleh dijalankan menggunakan sebahagiannya daripada kewangan dalaman SIC sendiri.

Bagi pembiayaan keseluruhan berkenaan, menurut Razlan 80% daripada projek-projek yang terlibat akan dibiayai menggunakan pinjaman bank dan selebihnya adalah daripada kewangan dalaman SIC. Syarikat berkenaan kini memiliki RM60 juta di dalam simpanan, yang mencukup untuk membiayai projek-projeknya bagi tempoh satu atau dua tahun akan datang.

“Setakat ini, SIC tidak mempunyai sebarang pinjaman bank. Jadi, ia adalah kali pertama kami meminjam wang dari bank. Bagi bahagian pembangunan yang lebih besar, seperti taman tema dan kemungkinan membina hotel, kami akan mendapatkan bantuan kewangan yang lebih daripada sekadar pihak bank. Kami sedang cuba menarik perhatian pelabur, operator, rakan kongsi serta rancangan usaha sama dan sebagainya. Sebelum ini, semuanya dibiayai sendiri oleh SIC,” jelas Razlan.

“Kajian pelaksanaan terhadap pembinaan hotel juga sedang dijalankan, dan akan selesai bulan ini (Julai). Kami berharap akan dapat memulakan projek hotel ini dalam suku pertama 2017, dan akan dibiayai sebahagiannya menggunakan kewangan dalaman,” tambah beliau.

Setelah semuanya selesai dan mula beroperasi nanti, SIC berhasrat ingin mengurangkan kebergantungan SIC terhadap sukar permotoran. Jangkaannya, 40% pendapatan masih akan disumbangkan oleh F1 dan MotoGP, manakala 60% lagi daripada aktiviti tidak berkaitan sukan permotoran. Ketika ini, F1 dan MotoGP menyumbang di antara 50% hingga 55% pendapatan keseluruhan SIC.

“Sekarang adalah masanya untuk melihat kepada kelangsungan jangka masa panjang SIC. Kami tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada F1 dan MotoGP dan merancang untuk meningkatkan pendapatan daripada aktiviti selain sukan permotoran. Kami tidak boleh mengandaikan bahawa kerajaan akan mendanai acara berkenaan selamanya,” tambah Razlan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required