MRT_SUNWAY_DAMANSARA

Klik untuk besarkan imej

MMC-Gamuda telah mengumumkan penutupan jalan sementara dan lencongan trafik akan disambung mulai hari ini hingga 24 Julai ini melibatkan Persiaran Surian berhampiran Dataran Sunway selepas persimpangan Persiaran Mohagani.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penutupan jalan itu akan dilaksanakan dari jam 10 malam hingga 5 pagi setiap hari untuk kerja-kerja pembinaan fisiliti jalan berhampiran Stesen Surian.

Sepanjang penutupan tersebut, pengguna jalan raya yang datang dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang ingin ke Persiaran Mohagani dan Persiaran Surian (arah Sungai Buloh) perlu masuk ke kanan di Jalan PJU 5/1 di Sunway Nexis dan kemudian masuk ke kiri ke Jalan PJU 5/19 sebelum ke Persiaran Mahogani dan Persiaran Surian.

Sementara itu, pengguna jalan raya yang mahu ke LDP, akan dilencongkan ke Persiaran Mahogani, masuk ke kanan ke Jalan PJU 5/19 dan kanan lagi ke Jalan PJU 5/1 sebelum ke Persiaran Surian berhampiran Sunway Nexis.

MMC-Gamuda juga memaklumkan akan meneruskan Pelan Pengurusan Trafik di sepanjang LDP, yang akan diimplementasi dari 20 Julai sehingga 3 Ogos, jam 11 malam hingga 6 pagi. Pelan ini melibatkan penutupan satu lorong di SS21 Damansara Utama (arah kepong) dan kedua-dua arah Persiaran Bandar Utama dari Dataran Bandar Utama ke susur LDP.

Selain itu, penutupan jalan turut melibatkan simpang Sri pentas ke One Utama (New Wing) dari tengah malam hingga 8 pagi pada setiap Sabtu dan Ahad.

Sepanjang penutupan jalan ini, pengguna jalan raya dari SS2 di LDP (arah kepong) dan dari Jalan Damansara yang ingin ke Persiaran Bandar Utama perlu memandu 250m ke hadapan dan memasuki simpang kiri ke Persiaran Surian, sebelum akses ke Bandar Utama dengan memasuki simpang kiri di Dataran Bandar Utama.

Sementara pengguna jalan raya dari Lebuhraya Sprint yang ingin ke Bandar Utama boleh terus melalui lebuhraya tersebut dan memasuki One Utama dari Lebuh Bandar Utama.

Semua pengguna jalan raya dinasihati agar mematuhi papan tanda dan isyarat jalan serta memandu dengan lebih berhati-hati di kawasan yang terlibat.