RENCANA: Sedan atau Hatchback, yang mana lebih sesuai untuk kegunaan dan gaya hidup anda?

Selain dari harga, bentuk badan kereta – sama ada sedan atau hatchback – sering menjadi salah satu faktor penting dalam mempengaruhi keputusan seseorang itu memilih kereta yang ingin dibelinya. Secara logik, sedan adalah pilihan yang paling praktikal untuk kegunaan harian. Namun mengikut fakta angka, Perodua Myvi telah dinobatkan sebagai kereta paling laris di Malaysia selama 10 tahun berturut-turut, dan kemudian gelaran berkenaan dirampas oleh adiknya Perodua Axia, di mana kedua-dua model berkenaan adalah model hatchback.

Walaupun berada dalam tahap sangat selesa dengan dua model hatchback yang sangat berjaya berkenaan, Perodua melancarkan sedan pertamanya – Perodua Bezza baru-baru ini. Begitu juga dengan Proton, kini dilihat sedang giat menguji Proton Persona generasi baharu yang diasaskan dari hatchback Iriz dan dijangka akan dilancarkan Ogos ini. Ini jelas menunjukkan kepentingan dan permintaan sedan kompak dalam pasaran bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

Kali ini, kami akan mengupas dan memberikan idea kepada anda dengan fakta-fakta kelebihan dan kekurangan pada sebuah sedan dan hatchback, yang mungkin akan membantu anda untuk membuat keputusan berkenaan kereta baharu pilihan anda kelak.

RUANG BUT/AKOMODASI

Jelas, sedan mempunyai kelebihan pada ruang but. Tetapi untuk kereta hatchback moden, bahagian but berkenaan boleh dimanipulasi menerusi ciri tempat duduk belakang yang boleh dilipat, seterusnya memberikan ruang but yang kadang kala lebih praktikal dari sedan dan hampir menyerupai kebolehan sebuah SUV kerana fleksibilitinya.

Contohnya, ‘adik-beradik’ Perodua Bezza dan Perodua Axia. Secara ringkasnya, Bezza dibina berdasarkan platform yang sama dengan Axia, cuma ditambah bahagian but untuk menjadikan ia sebuah sedan. Bezza mempunyai ruang but 508 liter berbanding Axia yang hanya berkapasiti 260 liter. Dengan ruang but berkenaan, sebuah keluarga yang terdiri dari empat orang dewasa dapat menikmati perjalanan yang selesa serta masih boleh membawa barang dan beg yang banyak ke destinasi percutian.

Namun, dengan bentuk bahagian belakang Axia yang lebih tinggi dan pintu tailgate yang luas, Axia mampu memuatkan barang yang lebih besar dan tinggi di bahagian belakang – mampu memuatkan rak buku mahupun mesin basuh berkapasiti kecil setelah tempat duduk belakang dilipat – ini tidak dapat dilakukan pada Bezza. Malah untuk hatchback yang lebih besar seperti Honda Jazz, ia turut boleh memuatkan basikal dan tangga lipat.

Satu lagi faktor yang membezakan sedan dan hatchback adalah pembahagian ruang kargo dengan ruang penumpang. Ruang kargo hatchback adalah sebahagian dari ruang penumpang utama, dan dipisahkan hanya dengan tempat duduk belakang dan juga penutup para bahagian belakang. Ini bermaksud, jika penutup para tidak ditutup, barang di dalam ruang but boleh dilihat menerusi tingkap dan cermin kereta. Juga, jika anda membawa barangan dengan bau yang kurang menyenangkan, ia akan terus masuk ke bahagian penumpang.

REKABENTUK

Sedan mempunyai rupa bentuk yang lebih tradisional dan sering dikaitkan bagi mereka yang berkeluarga, manakala hatchback menampilkan rekaan yang lebih sesuai untuk orang bujang dan muda – hanya mengambil kira faktor gaya hidup melebihi praktikaliti.

Namun pada penghujung era 00’an di mana pereka bentuk mengambil serius hal praktikaliti dan kapasiti ruang but, ada pengeluar yang mengambil faktor ini sebagai elemen utama rekaan, sehinggakan menghasilkan sebuah sedan berasaskan model hatchback yang kelihatan pelik dan janggal, contohnya Ford Fiesta sedan, Honda City GD dan Mazda 2 sedan generasi sebelum ini.

Namun, menerusi sedan-sedan kompak terbaharu, pengeluar-pengeluar nampaknya sudah menjumpai formula terbaik dalam rekaan yang bukan sahaja menampilkan ruang but yang besar, tetapi masih mengekalkan rupa paras menarik seperti Honda City GM2/GM5 dan juga Mazda 2 generasi terkini.

PEMANDUAN

Hatchback yang dibina lebih pendek tanpa but belakang adalah lebih mudah dipandu di dalam kawasan bandar. Ia lebih mudah untuk membelok pada ruang yang sempit serta ia juga lebih mudah untuk diparkir diruang yang sempit serta mudah diagak kerana hujung belakang kereta adalah hampir dengan cermin belakang.

Untuk pengendalian, tiada perbezaan besar untuk model biasa contohnya antara City dan Jazz, Polo Hatchback dan Polo sedan (kini dikenali sebagai Vento) serta Mazda 2 hatchback dan sedan. Tetapi dengan bentuk badan hatchback yang lebih kompak yang menjadikan keseluruhan badannya lebih tegar, lebih ringan serta rupa paras yang lebih sporty menyebabkan pengeluar lebih cenderung untuk memberikan talaan pengendalian yang lebih sporty untuk platform hatchback. Contohnya untuk Ford Focus terbaharu, Ford memberikan talaan pengdalian yang lebih keras pada model hatchback untuk pengendalian kelajuan tinggi yang lebih stabil, manakala untuk model sedan, ia diberikan talaan suspensi lebih lembut untuk memberikan keselesaan kepada penumpang.

Pengeluar juga cenderung untuk memilih platform hatchback sebagai model berprestasi tinggi sebenar contohnya seperti model Peugeot 208 GTI, VW Polo GTI begitu juga hatchback lagenda Proton – Satria GTI.

Jadi, adakah sedan atau hatchback yang lebih sesuai untuk kegunaan gaya hidup anda? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Sophian on Jul 27, 2016 at 8:19 pm

    Untuk Perodua Bezza 1.0. Kalau but(bonnet) boleh memuatkan 7beg saiz Besar(1) Dan sederhana(6). Berapa jumlah keseluruhan berat beg. Contohnya beg besar(40kg), sederhana besar (30kg x 6 @ 180kg). Jika membawa penumpang belakang 4org. Berat seorang 85kg (85kg x 4 @ 340kg). Jika dicampurkan kesemua berat ITU akan menjadi 560kg. Adakah Perodua Bezza 1.0 boleh membawa kesemua ITU? Atau kereta ITU akan dibawah kuasa (under power). APA akan berlaku jika munlah muatan ITU ketika naik bukit curam atau 45darjah. Adakah ia mampu? APA akan berlaku kenderaan ITU spt lower arm(belakang) Dan absorber(belakang) jika muatan 520kg. Kalau boleh, agak2 kalau nak buat iklan ITU. Kerosakan akan berlaku kpd kenderaan ITU nanti. Siapa yang untung jika bahagian ITU ada kerosakkan. Adakah absorber Dan lower arm ada warranty?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
    • Ah Chong on Sep 06, 2016 at 11:11 am

      Beg besar mana sampai berat 30-40kg tu? Baju ke besi keluli dalam tu? Cuba tengok berat beg besar di airport antarabangsa. Ada ke yang mencecah 30-40kg semuanya?
      Takkan berat semua penumpang berat 85kg. Cuba buat angka purata yang logik. Takkan keluarga purata berat 85kg, ibu bapa dan dua anak 85kg setiap seorang. Kalau saiz macam tu, secara logiknya, mereka takkan beli Bezza. Paling2 Persona 1.6 Campro cps. Lepas tu sengaja cari nahas naik genting. Kalau itu yang saudara fikirkan, kereta Bezza ini bukan untuk tuan, Proton Preve CFE atau Honda Civic Turbo mungkin sesuai untuk tuan.

      Beg pakaian secara logiknya paling berat pun semuanya dalam 40-60kg sahaja. Kalau barang mencecah hampir setengah tan, pick up Toyota Hilux lah jawapan tuan. Kenapa tetap nak bash kereta bandar ni dengan angka2 macam ni?

      Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
    • hazzif on Jul 27, 2019 at 1:14 pm

      Sophian..perbandingan tu biarlah logik kalau tak nnti dipanggil tak berakal..

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • amadfaisal on May 05, 2017 at 4:25 pm

    Bagi saya, beli kereta ikot kemampuan. Kegunaan kereta pula ikut pada keupayaan kereta tu.

    Saya owner untuk Axia. Telah guna selama 2 tahun. keupayaan kereta memuaskan. Untuk berjalan jauh masih lagi selesa dengan muatan 4 orang dewasa dan berjalan dengan barang-barang untuk 3 hari. Kedah ke KL.

    Bila memandu kereta kompak EKONOMI, perlu lebih sabar dan santai. Tidak digalakkan untuk memandu laju atas sebab-sebab tertentu.

    1) Untuk penjimatan bahan bakar, petrol.
    2) berat kenderaan yang ringan. Boleh melayang apabila ditiup angin.
    3) sistem keselamatan yang dibekalkan adalah asas. Perlu fikir sendiri untuk kawal apabila memandu.

    You get what you pay.

    Kalau jenis mahukan kereta kompak untuk pemanduan yang agresif, Axia @ Myvi bukan pilihan.

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Muhammad Faris on Jun 12, 2017 at 12:25 pm

    Terima kasih atas perkongsian kali ni, tuan admin. Saya masih baru dan mula berminat nak tahu tentang dunia kereta ni. Btw, saya pengguna Axia :)

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Saya penah menggunakan kereta nissan sentra 2007. Sekarang saya mengunakan kereta perodua axia. Apa yg boleh saya katakan. Sedan yg berkuasa 1.6 dan kebawah bukanlah pilihan untuk pemandu yg ingin membawa secara agresif dan memuatkan bebadan yg banyak seperti 5 org dewasan dan bag2 untuk melancong.
    Saya pernah membawa kereta bezza 1.3 adv. Dan memang sebuah kereta yg sangat selesa untuk di bawa untuk perjalanan jauh yg lebih santai dan 4 org dewasa 1 org budak yg berumur 7 thun kebawah. Dan penjimatan sangat terasa. Kerana membawa kereta dalam keadaan yg lebih santai speed di antara 100 ke 110.
    Berbanding axia jika tuan2 beli untuk perjalnan jauh. Saya kurang bersetuju walaupon axia mampu melakukanya. Dengan kabin yg sangat selesa. Walaupon saya berbadan besar. Bg yg suka memandu di bandar ini adalah pilihan yg paling bijak. Ini kerena pengunaan but yg besar adalah kurang di gunakan. Untuk membawa barang yg banyak kerana shopping x ingat dunia. Tempat duduk belakang boleh di rebahkan untuk isi barangan yg panjang.

    Jadi tidak perlu untuk membuat perbandingan drastik untuk melihat kelemahan sesebuah kereta jika di lihat dari luar bukan teknikal yg lebih dlm seperti ketahanan enjin.

    Nak safe minyak dan bawa relaks. Atau nak bawa agresif sampai kereta boleh terbang dan minyak mengalir seperti air. Pilihan di tangan yg bawa kereta. Bg axia pon kalau bawa cm nak race dengan bmw, memang x safe minyak dan cepat la dia jumpa doktor (pomen)

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required