PANDU UJI: Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline

DSC_0024 copy

Setelah menembusi pasaran Malaysia dengan versi CBU pada tahun 2012, dan kemudian dijual dengan versi CKD pada tahun 2013, kini Volkswagen Polo Sedan hadir pula dengan versi facelift. Ia bukan sekadar facelift, nama Polo Sedan juga kini telah ditukar kepada Volkswagen Vento, dan varian tertinggi dalam barisan modelnya iaitu Highline turut menerima perubahan dari segi mekanikal yang agak drastik dengan pemadanan enjin 1.2 TSI serta sistem transmisi DSG tujuh-kelajuan.

Seminggu selepas pelancarannya, VW Malaysia telah mengadakan sesi uji pandu Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline dari Puchong, Selangor ke Pulau Pinang untuk jurnalis-jurnalis automotif di Malaysia.

Varian tertinggi Highline ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM94,635. Ia turut dilindungi dengan waranti pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan. Untuk pelanggan yang membeli Vento sebelum 31 Julai ini, Volkswagen menawarkan bayaran bulanan percuma hingga akhir tahun 2016.

Sentuhan semula dilakukan pada bahagian luaran untuk merubah Polo Sedan kepada Vento. Ia dilengkapkan dengan lampu hadapan halogen seiras dengan Polo Hatchback 1.2 TSI. Gril hadapan krom yang lebih besar dan juga bampar yang kini hadir dengan lampu kabus melintang (berbanding berbentuk bulat pada Polo Sedan) serta kemasan krom merentangi gril bahagian bawah (tiada pada varian terendah Trendline). Walaupun diletakkan pada varian tertinggi, Vento tidak dilengkapi lampu hadapan LED dan tiada lampu nyalaan siang berbanding varian tertinggi pencabar-pencabarnya dari Jepun.

DSC_0029 copy

Pada bahagian sisi pula, tidak banyak perubahan dapat disaksikan berbanding Polo Sedan. Vento Highline kini dilengkapi dengan roda aloi pelbagai-jejari ‘Syenit’ berdiameter 16-inci baharu. Secara keseluruhan, Vento kelihatan seperti ‘baby-Passat’ jika dilihat pada bahagian hadapan-sisi.

Di bahagian belakang, Vento menerima lampu belakang baharu yang nampak seperti menggunakan teknologi LED, tetapi sebenarnya ia hanya menggunakan mentol biasa. Bampar belakang turut mendapat rekaan semula dengan dilengkapi reflektor pada setiap sisi dan tip ekzos dengan kemasan krom kini diserlahkan berbanding tip ekzos Polo Sedan yang disembunyikan di belakang bampar.

Bahagian dalaman Vento kelihatan agak seiras dengan Polo Sedan, menampilkan rekaan ‘biasa-biasa’. Tiada papan pemuka dengan rekaan seperti papan pemuka kapal angkasa, tiada sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, dan tiada skrin sesentuh pada sistem hiburan. Di mana unit pemain utama audio Vento hanya dilengkapi dengan Radio ‘320G’ dengan sambungan USB, iPod, SD card, AUX dan Bluetooth.

Bukan itu sahaja, malah Vento turut tidak dilengkapi dengan tempat penyimpan cermin mata. Mujur varian Highline dilengkapi pakej kemasan krom pada bahagian suis-suis kawalan utama, untuk membezakannya dengan varian yang lebih rendah.

Walaupun dibekalkan dengan sistem penghawa dingin automatik, suis kawalan sistem tersebut masih lagi bersifat tradisional menampilkan butang kawalan analog dengan skrin paparan menggunakan teknologi yang sama seperti skrin paparan kalkulator, tiada unit kawalan digital elektronik. Namun, sistem penghawa dingin tersebut berfungsi dengan baik, disertakan corong penghawa dingin bahagian belakang dan saluran khas ke glove box bagi menyejukkan minuman ringan atau coklat yang disimpan pada ruang tersebut.

2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-int-1_BM

Begitu juga pada paparan pelbagai info yang terletak antara takometer dan meter kelajuan, Vento Highline hanya dilengkapi dengan paparan TFT asas tanpa warna, memberikan informasi seperti purata penggunaan bahan api, meter trip, meter kelajuan digital dan pelbagai lagi.

Tempat duduk varian Highline dibalut dengan fabrik ‘Cable’. Walaupun bahagian kabin sedan segmen-B ini tiada itu dan ini berbanding pesaing sekelasnya, ia tetap mempunyai ciri yang saya suka. Tiga alat yang menghubungkan antara pemandu dan kereta iaitu tuil penukar gear, tuil brek parkir dan roda stereng diberikan sentuhan yang sangat premium.

Tuil penukar gear dan tuil brek parkir diberikan balutan kulit yang setaraf dengan kereta-kereta ‘continental’ sebenar. Roda stereng dengan suis pelbagai-fungsi tiga jejari Vento Highline bukan sahaja dibalut dengan kulit berkualiti tinggi, malah diberikan rekaan rata pada bahagian bawah, memberikan ‘feel’ seperti memandu sebuah model berprestasi tinggi sebenar dari Eropah.

Jadi, apa yang anda dapat dengan harga Vento Highline yang lebih mahal berbanding sedan segmen-B popular dari Jepun seperti Honda City, Toyota Vios dan Mazda 2, serta kekurangan dari segi pelbagai ciri?

Vento Highline dilengkapi dengan enjin 1.2 liter TSI berkuasa 105 PS pada tahap 5,000 rpm dan tork maksima 175 Nm dicapai bermula 1,550 hingga 4,100 rpm. Walaupun ia merupakan enjin paling kecil dalam kelasnya, namun ia merupakan satu-satunya enjin yang disuap dengan pengecas turbo dalam kategori sedan segmen-B serta mempunyai tork yang jauh lebih tinggi berbanding saingannya.

Begitu juga untuk sistem transmisi, Volkswagen tidak mensia-siakan jumlah tork yang dibina oleh enjin TSI tersebut dengan memadankan kotak gear ketinggalan zaman torque converter empat-kelajuan atau kotak gear CVT yang membuatkan enjin mengaum seperti alat pengering rambut ketika memecut, sebaliknya Vento dipadankan dengan kotak gear termaju klac-berkembar tujuh-kelajuan DSG yang sangat responsif.

Tentu ramai yang mempersoalkan tahap reliability kotak gear DSG ini bukan? Saya sempat bertanya dengan wakil VW berhubung masalah tersebut. Mereka mengakui memang ada masalah yang timbul sebelum ini. Tetapi menurut mereka, masalah tersebut hanya dihadapi oleh model-model keluaran tahun 2015 dan sebelumnya iaitu model-model CBU.

Untuk model-model terkini yang telah dipasang secara CKD di Pekan, beberapa komponen dalaman (VW tidak memberitahu dengan spesifik berkenaan komponen tersebut kerana ia sulit dan rahsia) telah ditukar untuk disesuaikan dengan cuaca dan keadaan di Malaysia.

Oleh kerana pengisian petrol untuk sesi uji pandu dibuat oleh pihak penganjur, kiraan tepat untuk penggunaan bahan api adalah sukar untuk dilakukan. Namun sebagai kiraan mudah, kereta ini hanya menggunakan setengah dari tangki petrol berkapasiti 55 liter untuk perjalanan dari bandar Pulau Pinang, menuju ke Stadium Batu Kawan, kemudian terus ke Puchong dengan gaya pemanduan yang agak agresif iaitu pada kelajuan purata sekitar 150-160 km/j.

2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-drive-20_BM

Paparan informasi juga menunjukkan bacaan purata penggunaan petrol sepanjang perjalanan tersebut adalah sekitar 9.8-10.2 liter petrol untuk setiap 100 kilometer. Dakwa VW dalam brosur Vento, varian Highline menggunakan 5.5 liter petrol untuk setiap 100 km dalam pemanduan kitaran gabungan.

Pengendalian juga merupakan salah satu ciri yang ‘manis’ terdapat pada Vento Highline. Sebuah sedan segmen-B merupakan sebuah sedan dengan berat keseluruhan yang agak ringan kerana saiznya. Lazimnya, pengendalian untuk sedan segmen ini bermasalah ketika kelajuan tinggi, ia terasa seperti terapung-apung dan berbuai. Ini berbeza dengan Vento, kerangka badan kereta ini dapat dirasakan sangat teguh.

Dibantu dengan talaan dari sistem suspensi topang McPherson pada bahagian hadapan dan sistem torsion beam pada bahagian belakang, pengendalian Vento bukan sahaja lincah dan tajam ketika meredah selekoh, ia juga terasa sangat stabil ketika dipandu pada kelajuan tinggi. Tidak keterlaluan untuk menyifatkan karekteristik pengendalian Vento adalah hampir kepada pengendalian sedan segmen-C yang lebih besar.

2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-ext-24_BM

Keseriusan Volkswagen dalam memberikan pengendalian terbaik untuk Vento bukan sahaja dapat dirasai menerusi cesi yang teguh dan talaan suspensi, ia turut disumbang pada penggunaan tayar dan roda pada kereta ini. Berbanding sedan segmen-B varian tertinggi lain menggunakan roda aloi berdiameter 16-inci tetapi dengan lebar hanya 5.5-inci serta lebar tayar hanya 185 mm (contohnya Honda City V dan Mazda 2), yang kelihatan ‘kurus’ jika dilihat dari belakang atau hadapan, Vento dilengkapi roda aloi sport sebenar 16×7 jj dibaluti tayar 215/45R16 yang memberikan prestasi cengkaman dan kawalan terbaik. Satu perkataan untuk membayangkan gabungan kuasa dan pengendalian Vento – Solid!

Untuk sistem keselamatan, Vento Highline dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Crash Response System (ICRS), Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) yang membolehkannya mendapat penarafan lima-bintang dalam penilaian ASEAN NCAP (varian Trendline dan Comfortline yang lebih rendah hanya menerima penarafan empat-bintang kerana tidak dilengkapi ESC). Ia juga didatangkan standard dengan cagak Isofix.

Berbalik pada persoalan harga tadi, Vento bukanlah untuk mereka yang mudah gembira dengan gimik dari ciri seperti lampu LED atau skrin sesentuh untuk sistem audio. Jika dinilai dari semua segi termasuk ciri-ciri ‘gimik’ tadi, harga, nilai jualan balik dan lain-lain, Vento juga akan ketinggalan berbanding Honda City dan mungkin juga dengan sedan segmen-B yang lain.

Tetapi jika anda seperti saya yang meletakkan kuasa enjin, respon dari sistem transmisi dan pengendalian sebagai asas untuk memilih sebuah kereta, Vento adalah kereta untuk anda. Untuk sesi uji pandu media pada kali ini saya agak bertuah kerana berbanding penulis lain yang digandingkan juga bersama penulis (bermaksud, mereka perlu bertukar-tukar pemandu sepanjang perjalanan untuk menguji kereta ini), saya digandingkan dengan wakil dari VW sendiri, membolehkan saya duduk di tempat duduk pemandu sepanjang perjalanan pergi dan balik, ini antara faktor hati saya agak tertarik pada Vento Highline kerana ia adalah sebuah kereta yang dibina untuk dipandu – semakin lama anda memandu kereta ini, semakin anda akan jatuh hati dengannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required