Suzuki-Swift-spied-5_BM

Sebuah Suzuki Swift generasi seterusnya dilihat sedang diuji dengan dibaluti pelekat penyamaran dan dilengkapi dengan roda aloi. Walaupun dalam mod penyamaran, bayangan bentuk badan hatchback berkenaan agak jelas, dengan mengekalkan bentuk asal seperti Swift sedia ada pada bahagian atas, atau secara spesifiknya pada bahagian tiang-C Swift berkenaan.

Bentuk badan Swift generasi baharu ini kelihatan lebih gagah dengan garisan badan yang lebih jelas bermula dari lampu belakang merentangi keseluruhan badan hingga ke lampu hadapan. Ia agak berlainan dari model Swift sedia ada dimana garisan berkenaan berakhir di ruang roda hadapan.

Kami juga menerima imej bahagian dalaman Swift baharu berkenaan sebelum ini. Imej berkenaan memperlihatkan roda stereng baharu pelbagai fungsi yang leper di bahagian bawah, panel instrumen pelantar kompas berkembar, skrin paparan tengah, butang kawalan penghawa dingin dan corong udara baharu pada bahagian tengah.

Suzuki-Swift-spied-15_BM

Suzuki Swift varian asas mungkin akan dijanakan dengan enjin petrol 1.0 liter Boosterjet pengecas turbo dari Suzuki Baleno, yang dipadankan dengan pilihan sama ada transmisi manual lima-kelajuan atau kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan. Varian Smart Hybrid Vehicle (SHVS) turut dijangka akan diperkenalkan dengan menampilkan enjin 1.2 liter Dualjet dan ISG (Integrated Starter Generator) yang membantu enjin ketika dipacu dan menjanakan elektrik sewaktu membrek.

Dalam satu sesi penerangan kepada pengedar, Suzuki mendakwa Swift baharu mencatatkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelas hatchback segmen-B, tanpa memberikan angka yang tepat. Model baharu ini juga menampilkan ukuran dimensi 3.84 meter panjang dan 1.74 meter lebar.

Varian Swift Sport pula dijangka akan dijana oleh enjin 1.4 liter Boosterjet suntikan-terus pengecas turbo empat-silinder. Jika kuasa yang dihasilkan sama seperti Vitara S di UK (138 hp/220 Nm), ia menyamai angka kuasa kuda model sedia ada dengan enjin 1.6 liter NA sedia ada tetapi dibekalkan tork 60 Nm lebih besar. Suzuki Swift generasi baharu ini dijangka akan diperkenalkan pada Disember tahun ini, dan akan ditampilkan di pasaran pada Mac 2017. Manakala Swift Sport pula dijangka tiba beberapa bulan selepas itu.