P90208285_highRes_bmw-330e-01-2016_BM

Selepas BMW X5 xDrive40e dilancarkan dengan jayanya di Malaysia, dikhabarkan BMW 330e iPerformance pula akan tiba untuk pasaran tempatan selepas ini, dijangka seawal penghujung bulan Ogos. Khabar gembira lain yang diberikan kepada kami adalah model hibrid plug-in ini akan dijual pada harga luar biasa seperti X5, dianggarkan diantara RM240k-RM260k!

Ini akan meletakkan 330e diantara 320i Sport Line (RM231,800) dan 330i M Sport (RM297,800) dalam barisan model 3 Series F30 LCI. Ia juga dilihat akan menggantikan model 320d dan 320i M Sport (sebelum ini dijual pada harga RM269k dan RM259k) dalam barisan model, kedua-duanya telah dihentikan penjualannya awal tahun ini.

Dengan harga yang dianggarkan (RM240k-RM260k), tidak mustahil BMW Malaysia akan menawarkan 330e iPerformance dalam dua varian iaitu Sport Line dan M Sport. Model X5 xDrive40e dilancarkan pada harga RM388,800 dan memberikan saingan yang sangat sengit kepada semua pesaingnya, hadir dengan versi M Sport sahaja.

Model 330e akan dijana oleh enjin yang sama dengan X5 xDrive40e dan 740e iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder dan motor elektrik, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Enjin petrol berkenaan mampu menjana 180 hp/290 Nm, manakala motor elektrik pula menjana 87 hp/250 Nm, menjadikan 330e ini mempunyai kuasa keseluruhan 248 hp/420 Nm, berbanding model 330i petrol sepenuhnya yang berkuasa 252 hp/350 Nm.

Gabungan kuasa berkenaan membolehkan 330e iPerformance mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j, hampir kepada prestasi 330i yang mampu membuat pecutan yang sama dalam masa 5.8 saat dan kelajuan maksimum 250 km/j. Tetapi model hibrid plug-in ini didakwa mampu mencatatkan penggunaan bahan api purata hanya 2.1 liter untuk setiap 100 km, berbanding 330i yang menggunakan bahan api purata 6.1 liter untuk setiap 100 km perjalanan. 330e ini juga mampu dipandu dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 22.5 km, dengan kelajuan maksima 120 km/j.

Kami akan mendapat lebih maklumat berkenaan model ini tidak lama lagi. Jadi, jika harga anggaran ini benar, ia adalah peluang anda untuk mengambil kesempatan sepenuhnya atas skim EEV yang diberikan oleh kerajaan bukan?