13903441_1149734008397947_6994931019746018398_n

Ekoran dakwaan seorang pemilik Perodua Axia yang memviralkan kisah mengenai kelemahan kereta kompak ini yang dikatakan boleh menyebabkan sterengnya terkunci sendiri serta brek dan beg udara tidak berfungsi, Perodua telah mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini.

Menurut Perodua, berhubung dengan sebuah unit Axia 1000 E (manual) yang terlibat dengan satu kemalangan baru-baru ini dan pemiliknya mendakwa ia adalah disebabkan masalah stereng yang tiba-tiba terkunci sendiri, syarikat terbabit menjelaskan satu ujian terperinci telah pun dijalankan ke atas kereta terbabit. Hasil ujian tersebut mendapati sistem brek, beg udara dan stereng pada kereta itu berfungsi sepenuhnya.

Bahkan Perodua juga telah menyerahkan laporan hasil ujian tersebut kepada pemandu kereta terbabit. Malah Perodua juga memberi kerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pihak tersebut membuat laporan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Telah lebih 200,000 unit Axia telah pun dijual sejak ia dilancarkan pada September 2014, dan kami mengesahkan sehingga kini, kami tidak pernah menerima sebarang aduan mengenainya daripada pelanggan kami,” ujar Dr.Zahari Husin, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd menerusi kenyataan yang turut dipaparkan di Facebook rasmi Perodua sendiri.

Walau bagaimana pun, Perodua tetap akan terus memastikan keselamatan kenderaan buatan syarikat ini diutamakan dan mengikut standard yang ditetapkan.

PERODUA_AXIA_VIRAL