Kementerian Pengangkutan ingatkan pengguna jalan raya agar tidak bermain Pokemon Go ketika memandu

liow tiong lai

Kementerian Pengangkutan mengingatkan pengguna jalan raya agar memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan tidak terganggu dengan permainan dalam talian Pokemon Go. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meluahkan rasa bimbang sekiranya pengguna jalan raya cenderung terlibat dengan kemalangan sekiranya leka dengan permainan atas talian berkenaan, memetik laporan The Star.

“Tolong jangan main Pokemon Go ketika anda memandu. Melainkan anda penumpang, adalah sangat bahaya untuk anda berbuat demikian,” ujar beliau. Pengguna lalu lintas perlu berhati-hati, kerana di atas jalan raya, mereka tidak hanya bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri semata-mata, tetapi terhadap pengguna lain juga.

“Adalah sangat jelas menjadi satu kesalahan jika menggunakan telefon bimbit ketika memandu; tak kisah sama ada untuk bermain Pokemon, menghantar mesej atau membuat panggilan,” tambahnya. Awal tahun ini, kementerian berkenaan melancarkan kempen “Focus on the Road, Not on the Hand” untuk meningkatkan kesedaran terhadap bahaya jika perhatian terganggu ketika memandu.

Sementara itu, saman pertama berkaitan permainan Pokemon Go ini juga sudah dikeluarkan. Sin Chew Daily melaporkan seorang pemuda 32 tahun di Kuantan ditahan polis ketika dia bersama rakan-rakannya sedang memandu dan memburu Pokemon pada Sabtu lalu, ketika hari pertama permainan itu muncul di atas talian di Malaysia. Pemuda berkenaan disaman RM300.

“Saya menggunakan aplikasi berkenaan untuk mengetahui lokasinya (Pokemon) ketika saya memandu. Tangkapan yang saya perolehi untuk permainan itu sangat baik. Polis hanya senyum sebaik melihat skrin telefon saya dan menyerahan saman,” kata pemuda itu.

Permainan augmented reality itu, yang mendapat sambutan luar biasa di Barat ketika diperkenalkan bulan lalu, turut menjadi penyebab kepada beberapa kemalangan di sana. Setakat ini, polis dan bomba di Lembah Klang menyatakan keadaan masih tidak terlalu meresahkan dan tiada laporan berkaitannya diterima, bagi tempoh hujung minggu pertama ia dilancarkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required