Proton-Saga-Theo-render-850x469

Terbaharu dari pakar rendering di Malaysia, Theophilus Chin ialah Proton Saga 2016. Model yang dirancang akan diperkenalkan September nanti ini juga sudah dilihat beberapa kali sedang diuji. Imej ini dibayangkan oleh beliau berdasarkan gambar-gambar model lain terbaharu Proton, yang sudah dibocorkan ke dunia maya sebelum ini.

Di bahagian depan, Saga 2016 kelihatan mewarisi pendekatan reka bentuk dari model Iriz. Antara kelainannya, palang berkembar pada gril depan yang lebih nipis jika dibandingkan dengan model hatchback berkenaan, termasuk juga bampar depan yang direka semula, menempatkan ruang kemasukan udara yang lebih kecil.

Lampu depan dari unit projektor digunakan bagi imej bayangan ini. Bagaimana pun, bagi versi sebenarnya nanti, kami menjangkakan ia mungkin akan menggunakan lampu reflektor, sesuai dengan penawarannya sebagai sebuah model asas peringkat kemasukan, seperti yang ada pada Persona.

Proton-Saga-Theo-render-2-850x430

Dari bahagian tepi pula, imej rendering ini menampilkan garis badan utama yang melalui bahagian pemegang pintunya. Satu lagi garis badan, kali yang lebih halus dan berada di bahagian sedikit ke bawah badan kenderaan. Di bahagian belakang, Saga 2016 diberikan lampu belakang trapezoid – kelihatannya seperti menggunakan lampu bulb biasa dan bukannya lampu LED – dihubungkan dengan palang krom. Melengkapi bahagian ini ialah diffuser yang digabungkan sekali bersama lampu kabus.

Spesikasi Proton Saga terbaharu nanti masih lagi belum diketahui dengan tepat. Namun, antara kemungkinan yang boleh dijangkakan ialah Saga 2016 itu nanti bakal menggunakan enjin 1.3 liter VVT Petrol dari Iriz (mungkin juga melibatkan penambah baikan mekanikal yang ketara) serta dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan atau CVT.

Selebihnya, enjin baharu 1.0 liter yang dibangunkan Proton, atau enjin 1.2 liter VVT tiga silinder mungkin juga akan ditawarkan bagi model ini, termasuk enjin 1.0 liter turbo. Kami jangkakan Saga akan dilengkapi dengan enjin-enjin bersesaran lebih rendah, dan berbeza dengan Persona yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat bulan Ogos ini.