Kerajaan sambung beri bantuan RM142.7 juta kepada syarikat pengendali bas henti-henti terpilih – SPAD

metrobus-fb-pix-2-850x452

Kerajaan akan menyambung bantuan berjumlah RM142.7 juta kepada lebih 60 syarikat bas henti-henti yang beroperasi di laluan yang kurang menguntungkan di bandar-bandar kecil di bawah Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF), seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star.

Mengumumkan perkara itu semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mengubah industri bas henti-henti supaya kualiti perkhidmatan yang diberikan serta kekerapannya dapat dipertingkatkan. Ini terutama sekali bagi laluan-laluan yang kurang pengguna.

Tahun lalu, sejumlah RM150 juta telah diagihkan. Namun, selepas itu, tiada khabar kedengaran berkenaan ISBSF sehingga Mei lalu, menyebabkan pengendali-pengendali yang terkesan meminta bantuan kerajaan itu disambung. “Peruntukan kritikal ini akan disalurkan kepada 65 pengendali bas henti-henti yang sudah memohon bantuan bagi tahun ini,” jelas Syed Hamid.

Diperkenalkan pada 2012, ISBSF merupakan langkah sementara yang telah memberi manfaat kepada 347 juta penumpang di 608 laluan. Pada 2015, 100 syarikat pengendali menerima bantuan ini dan dapat meneruskan operasi mereka. Setakat tahun ini, SPAD sudah mengagihkan RM11.62 juta kepada pemohon dari Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu sementera pemohon selebihnya sedang dinilai.

Dalam tempoh empat tahun lalu, kerajaan secara keseluruhannya telah mengagihkan RM519 juta untuk membolehkan 347 juta perjalanan dilakukan, merangkumi 600 juta km jarak perkhidmatan. Secara puratanya bagi tempoh itu, pendekatan ini membabitkan RM130 juta setahun, sebagai subsidi kepada 86.75 juta perjalanan yang merangkumi 150 km. Dengan pengumuman semalam, pembiayaan terkumpul bagi ISBSF kini ialah RM661.7 juta.

Ketua Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah turut berkata, penyelesaian jangka panjang bagi perkara ini adalah untuk berpindah ke myBas. Ia sebuah inisiatif yang diperkenalkan pada 2015 di bawah program Stage Bus Transformation (SBST). Ia direka dengan matlamat untuk memperbaiki kedudukan kewangan syarikat pengendali serta meluaskan rangkaian laluan perkhidmatan sedia ada.

Ia juga bakal menyaksikan pengendali bas yang terlibat akan meninggalkan kaedah operasi lama yang dikenali sebagai fare-box revenue model (kadar tambang mengikut kawasan yang diluputi). Ia bakal diganti dengan kaedah baharu di mana operator dibayar sejumlah kadar seperti yang dipersetujui untuk membolehkan mereka beroperasi di sesuatu laluan (yang kurang menguntungkan) dengan kekerapan tertentu. Hasil kutipan tambang kemudian akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

Berikutan pelaburan RM100 juta yang dibuat untuk tujuan itu, SPAD kini sudah melaksanakan program myBas ini di Kangar, Seremban dan Ipoh. Ini akan dituruti oleh Kuala Terengganu dan Johor Bahru dalam masa terdekat. “Kerajaan menyedari bahawa di luar Lembah Klang, perkhidmatan bas henti-henti menjadi nadi utama pengengkutan, dan kami perlu memastikan perkhidmatan ini sentiasa berterusan,” tambah Azharuddin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required