PANDU UJI: Volkswagen Golf 1.4L TSI – Harga turun, prestasi dan teknologi penjimatan jadi kelebihan

2016 VW Golf 1.4 TSI BM 08

Rasanya tiada keperluan untuk memperkenalkan Volkswagen Golf secara panjang lebar lagi. Kini di dalam penampilan generasi ketujuhnya, Golf Mk7 diperingkat global sudah menerima banyak pengiktirafan, termasuk dipilih sebagai World Car Of The Year 2013. Itu sudah cukup untuk memberi gambaran bagaimana sambutan dan imej serta prestasi model ini di mata dunia.

Model pertamanya, Golf Mk1 mula dikeluarkan pada tahun 1974, dan banyak diperkenalkan dalam bentuk hatchback tiga pintu pada peringkat awal. Ia kemudian turut ditawarkan dalam versi hatchback lima pintu yang diteruskan sehinggalah kepada versi Mk7 yang ada kini, termasuk yang dijual untuk pasaran Malaysia. Selebihnya, versi convertible Golf turut pernah dihasilkan.

Model paling ikonik bagi Golf ini tentulah dari versi yang memiliki lambang GTi di bahagian belakangnya. Ia serta-merta membayangkan angka-angka prestasi dan pemanduan padu serta kelincahannya. Ia juga menjadi satu lambang yang begitu sinonim dengan Volkswagen, dan untuk itu, berhasil mengumpul peminatnya yang tersendiri.

Sepanjang berkesempatan untuk mendekati Golf secara peribadi, paling tidak sejak pengenalan generasi kelimanya (Mk5) dahulu, yang paling diingati dan dicari-cari ialah penawaran pengendalian yang dipadankan dengan prestasi pemanduan dari kejuruteraan Jerman yang sudah terbukti ketangkasannya, terutama versi GTi, yang dahulunya menggunakan enjin 2.0 liter.

2016 VW Golf 1.4 TSI BM 09

Kemudian, lanskap dan kecenderungan industri automotif dunia berubah, paling ketara sejak lima tahun lalu. Teknologi makin canggih; kapasiti enjin makin kecil, tetapi janaan kuasa tetap tinggi. Ini semua dilakukan untuk penjimatan tenaga, dan kesannya terhadap alam sekitar. Lebih banyak kenderaan hibrid dan juga elektrik mula diperkenalkan.

Namun, banyak juga pengeluar masih kekal dengan penawaran enjin pembakaran dalaman sedia ada, tetapi dilengkapi dengan pendekatan dan teknologi enjin baharu yang lebih cekap. Bagi Volkswagen, teknologi yang dibangunkan untuk enjin petrolnya bagi tujuan ini dikenali sebagai Turbocharged Stratified Injection (TSI).

Dalam bahasa mudah, ia merupakan sebuah pendekatan bagi enjin untuk memberikan kelebihan dari sudut penggunaan minyak yang sangat ekonomikal dan dalam masa yang sama, tidak mengorbankan prestasi dan kuasa yang dihasilkan. Inilah teknologi yang melengkapi hampir semua model kereta penumpang janaan petrol yang diperkenalkan oleh Volkswagen di Malaysia kini.

Sebagai contoh, Polo dan Beetle adalah antara model yang menggunakan enjin 1.2L TSI, manakala Jetta dan Golf Mk7 yang ditampilkan di sini pula menggunakan enjin 1.4L TSI. Bagaimana prestasi enjin berkenaan jika dibandingkan dengan enjin yang berkapasiti lebih besar?

Setakat ini, sepanjang pengalaman memandu uji semua model-model yang dinyatakan tadi, tidak sekali pun saya berasa kecewa dengan prestasi pemanduannya. Bahkan tidak keterlaluan jika disifatkan penjimatan yang mampu dicapai sangat memberangsangkan; paling penting, janaan dan maklum balas kuasanya sangat-sangat memuaskan. Penyampaian kuasanya malahan lebih baik.

Mungkin masih ramai yang memandang sinis terhadap enjin dengan kapasiti kecil seperti ini. Tetapi, selepas anda mencubanya sendiri, paling tidak tanggapan itu akan berubah. Ada sesuatu yang menarik berkenaan enjin TSI ini. Sukar untuk menafikan kecekapan dan penjimatan yang diberikan.

Tidak kisahlah sekiranya masih ada yang ragu-ragu dengan keupayaan khidmat lepas jualan oleh Volkswagen, atau masalah kotak gear yang hangat diperkatakan sebelum ini (Volkswagen menyatakan bahawa semua masalah itu sudah dikenal pasti dan di atasi), jika kita melihatnya sebagai sebuah produk akhir dengan pakej penawaran yang diberikan, ia berada di dalam kelas yang tersendiri.

Volkswagen Golf Mk7 1.4L TSI yang dipandu uji ini bukanlah model baharu di Malaysia. Ia pertama kali masuk pasaran tempatan pada 2013. Kemudian, Mac lalu, ia diperkenalkan pula dalam pakej facelift yang turut mendapat beberapa peningkatan kecil.

Ia ditawarkan dalam dua varian, Comfortline dan Highline. Harga jualan masing-masing ialah RM150,635 dan RM160,635; ia adalah harga atas jalan tanpa insurans. Bagi varian Comfortline, ia melibatkan pengurangan harga hampir RM14,000 jika dibanding dengan harga versi sebelumnya (Golf 1.4 sebelum versi facelift dijual pada harga RM164,608).

Bagi varian Highline, pertambahan yang dilakukan turut merangkumi penggunaan ciri Keyless Entry & Push Start (KESSY) untuk kemudahan pemandu. Selain itu, ciri lain seperti Park Assist dan Rest Assist, yang membantu pemandu ketika ingin parkir serta mengesan tahap tumpuan pemandu dengan menilai input pada stereng dan pedal minyak juga merupakan tambahan ciri keselamatan yang berguna.

Dari segi kosmetik, antara peningkatan baharu yang dilakukan ialah penggunaan rim Madrid 17 inci. Di bahagian belakang, lampu breknya pula menggunakan lampu LED yang lebih terang. Penggunaan fabrik Mel Stripe pula disifatkan mampu memberikan permukaan tempat duduk yang lebih kesat.

Peningkatan yang dilakukan tidak setakat itu sahaja. Bahagian enjin turut menerima pertambahan kuasa; kuasanya kini berada pada 150 PS (148 hp), 10 PS (8 hp) lebih tinggi berbanding enjin sama pada versi sebelumya. Torknya pula adalah sebanyak 250 Nm dalam julat 1,500 rpm hingga 3,500 rpm.

Bagi sistem transmisi, Golf 1.4L TSI facelift ini menggunakan kotak gear yang sama seperti sebelumnya, iaitu Direct Shift Gearbox (DSG) tujuh-kelajuan. Bacaan 0-100 km/j adalah 8.2 saat, dengan pecutan maksimum yang dikatakan mampu dicapai ialah 216 km/j.

Seperkara lagi, perlu juga disebut bahawa model ini turut dilengkapi dengan teknologi Volkswagen BlueMotion. Volkswagen menyatakan, dengan gabungan sistem pacuan kuasa dari teknologi enjin TSI dan kotak gear DSG ini, bacaan pengguna minyak bagi Golf 1.4L TSI facelift ini mampu mencapai 5 liter bagi setiap 100 km.

BlueMotion adalah rangakaian ciri-ciri dan gabungan teknologi yang digunakan bertujuan untuk mencapai penjimatan yang lebih tinggi. Daripada paparan yang boleh dicapai pada skrin ditengah papan pemuka, bacaan yang dapat dicapai setakat yang sempat diperhatikan ialah 9.8 km per liter, dengan pemanduan di dalam bandar pada kebanyakan masa.

Melengkapinya dari aspek ini ialah ciri Start/Stop enjinnya. Ciri ini akan mematikan enjin sekiranya sistem mengesan kenderaan akan berhenti, misalnya ketika di persimpangan atau hentian lampu isyarat. Sama juga, tujuannya adalah untuk menjimatkan penggunaan petrol dalam situasi yang tidak diperlukan.

Namun, sepanjang memandunya tempoh hari, ciri ini menjadi satu-satunya yang sedikit menjengkelkan saya. Aplikasinya ketika mematikan dan menghidupkan enjin agak kasar. Walaupun sangat berguna ketika berhenti di lampu isyarat misalnya, ia bagaimana pun sangat merimaskan ketika sedang ingin memasukkan kereta ke ruang parkir.

Dalam keadaan yang perlahan seperti itu, jika breknya ditekan habis, enjin akan serta-merta dimatikan kerana sistem menganggap pemandu ingin memberhentikan kenderaan. Padahal, yang sedang dilakukan ialah cuba bergerak perlahan untuk masuk ke ruang parkir yang terhad dan sempit.

Sebaik pedal minyak ditekan, enjin ini akan hidup kembali, tetapi dengan sedikit lonjakan yang membuatkan usaha yang sepatutnya senang untuk masuk parkir itu menjadi satu hal yang menyusahkan; payah untuk menganggarkan berapa jarak yang ada sekiranya kereta melonjak mengejut. Inilah saja satu-satunya rungutan yang ingin dinyatakan tentang kereta berkenaan.

Selebihnya, Volkswagen Golf Mk7 1.4L TSI mempunyai pakej yang menarik bagi sebuah hatchback lima pintu dari segmen C. Kini dengan harga yang lebih rendah, serta kelengkapan ciri tambahan dan teknologi baharu yang didatang sekali, mungkinkah ia merupakan satu penawaran yang terbaik?

Tambahan pula ketika ini sedang berlangsung ialah promosi sempena Hari Merdeka, dan model Golf ditawarkan dengan penjimatan tambahan bernilai RM10,000 lagi. Jika anda ingin mempertimbangkan kereta ini, sekarang mungkin waktu yang paling sesuai.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Ali Karim on Aug 22, 2016 at 9:56 pm

    Wow! An overall reduction of RM4,000.00 from previous. I want to buy, I want to buy…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required