Mercedes-Benz GLC 250 4Matic AMG Line 1

Mercedes-Benz Malaysia telah pun melancarkan versi pemasangan tempatan bagi model Mercedes-Benz GLC 250 4Matic. Ia merupakan SUV pertama yang diproduksi di kilang pemasangan Mercedes-Benz yang terletak di Pekan, Pahang, yang turut ditampilkan dengan elemen yang sama dengan model semasa yang diimport sepenuhnya (CBU), bahkan turut disertakan dengan beberapa kit tambahan.

Walau bagaimana pun GLC bukanlah model terurai-sepenuhnya (CKD), tetapi lebih kepada semi-terurai (SKD), dengan kerangka dan panel yang telah separa-kimpal dan dicat, didatangkan ke Malaysia dari Jerman. Menurut Timbalan Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine, operasi CKD sepenuhnya bagi GLC akan dimulakan apabila fasiliti cat baharu ditambah pada kilang ini kelak.

Didatangkan dengan spesifikasi AMG Line tunggal, model SKD ini ditawarkan pada harga atas jalan RM325,888 tanpa insurans, sama dengan harga CBU GLC 250 Exclusive dan kurang RM3,000 daripada AMG Line yang diimport. Ia turut termasuk dengan waranti empat-tahun, tanpa had perbatuan.

Pada bahagian luarannya, model SKD ini seiras dengan model semasa AMG Line, turut didatangkan dengan kit AMG sepenuhnya, termasuk bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, corong ekzos berkembar dan plat ambang protektif. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan lampu utama LED Pintar, lampu belakang LED, pemijak sisi dan roda aloi pelbagai-jejari AMG 20-inci.

Mercedes-Benz GLC 250 4Matic AMG Line 3

Manakala bahagian dalamnya pula lebih kurang sama, dengan pakej gaya dalaman AMG pada kulit tiruan Artico, kekemasan kayuan berwarna hitam abu dan roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari AMG. Malah ia turut menampilkan kemasukan tanpa kunci, bumbung gelangsar panoramik, kawalan suhu automatik tiga-zon Thermotronic, Bantuan Parkir Aktif, tirai tingkap sisi belakang dan pintu bonet belakang larasan kuasa yang boleh dibuka dengan Akses Bebas-Tangan.

Selain itu, ia turut menampilkan sistem bunyi Burmeister 590 W 13-speaker yang disambungkan dengan sistem infotaimen asas Audio 20 CD, paparan tujuh-inci, sistem kamera 360-darjah dan sistem navigasi Garmin Map Pilot.

Elemen tambahan termasuklah pad sesentuh dan perehat tapak tangan di atas kawalan COMAND pada terowong transmisi, pakej storan, pencahayaan ambien, plat ambang pintu iluminasi dan pencahayaan tompokan pada logo Mercedes. Manakala kit keselamatan pula lebih komprehensif dan termasuklah tujuh beg udara (termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu), Bantuan Tambahan Pencegahan Perlanggaran, Bantuan Angin Lintang, Bantuan Perhatian dan sistem Pra-Keselamatan.

Sudut mekanikalnya tiada perubahan, di bawah hudnya masih dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 211 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm bermula 1,200 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan yang menyalurkan kuasa menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic.

Jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat, dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 222 km/j. Penggunaan bahan api pula dianggarkan antara 6.5 dan 7.1 liter per 100 km mengikut kitaran European NEDC.

Sistem suspensi sport AMG turut ditawarkan, dengan mengurangkan ketinggian sebanyak 15 mm. Model CBU yang memiliki Pakej Kejuruteraan Off-Road, dengan menambah fungsi Pengawalaturan Kelajuan Menurun Bukit (DSR) dan mod pemanduan Off-road, Kecondongan, Kelicinan dan Trailer pada sistem Pemilihan Dinamik, telah digugurkan.