2016 Yamaha Janus 9 BM

Yamaha Motor Co., Ltd sejak pertengahan Ogos ini sudah memperkenalkan skuter terbaharu keluarannya, Yamaha Janus 125 cc untuk pasaran di Vietnam. Menariknya model ini, varian tertingginya turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar sebagai ciri standard serta menampilkan buat pertama kali sistem Start/Stop bagi skuter Yamaha.

Disasarkan untuk penunggang wanita, Janus 125 cc dilengkapi dengan teknologi enjin BlueCore, dan menjadi model ketiga dengan teknologi berkenaan yang diperkenalkan di sana selepas Nozza Grande (2014) dan Acruzo (2015).

Janus 125 cc ialah sebuah skuter asas yang direka untuk memberikan empat penawaran ini sebagai keutamaannya; rim 14 inci, enjin BlueCore yang menggabungkan prestasi dan penjimatan, casis dan rangka rekaan baharu yang ringan, pada 97 kg sahaja serta ruang simpanan barang di bahagian bawah tempat duduk dengan kapasiti 14 liter.

Bagi ciri Start/Stop pula, yang membolehkan enjin dimatikan misalnya ketika menunggu di lampu isyarat, ia ditawarkan bagi dua varian yang lebih tinggi; Janus Deluxe dan Janus Premium. Bagi varian terakhir ini, ia turut disertakan dengan sistem kunci pintar.

Pasaran motosikal di Vietnam mencatatkan permintaan sehingga 2.85 juta unit pada 2015, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Yamaha. Daripada jumlah itu, skuter menyumbang 40% kepada angka berkenaan. Menurut Yamaha, Janus 125 cc dikelaskan sebagai skuter bagi volume-priced category, bermaksud syarikat itu mensasarkan model berkenaan dalam jumlah yang besar.