Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menegaskan mereka sentiasa mengekalkan tambang LRT agar berada pada paras yang rendah dengan pelbagai opsyen tiket ditawarkan. Perkara ini ditegaskan oleh Lim Jin Aun, ketua komunikasi dan pemasaran strategik kumpulan Prasarana dalam kenyataannya yang disiarkan di Malay Mail Online, sebagai maklum balas kepada “Upset LRT User” yang menulis kepada The Star baru-baru ini.
Lim turut menegaskan tambang RM9 yang dinyatakan oleh “Upset LRT User” dari stesen paling hujung di Puchong iaitu Puchong IOI hingga stesen Sunway-Setia Jaya iaitu stesen paling jauh di laluan BRT Sunway adalah tidak benar kerana tambang untuk laluan tersebut hanyalah RM8.20 untuk kadar meggunakan sistem tunai.
Pengguna juga turut ditawarkan dengan pilihan bayaran tanpa tunai iaitu MyRpid Smart 30 dan MyRapid Smart 7 untuk mereka yang kerap menggunakan perkhidmatan LRT ini, yang turut menawarkan diskaun tambahan, kata Lim.
Walau bagaimanapun, Lim turut menjelaskan produk MyRapid Smart 30 dan Smart 7 memerlukan yuran pengaktifan RM10 dan RM2.50, selepas tamat tempoh 30-hari atau 7-hari.
Namun, terdapat juga maklum balas positif diterima dari pengguna LRT lain, yang mendapati bergerak dari rumah mereka di USJ, Subang Jaya ke tempat kerja di Kuala Lumpur menggunakan LRT adalah lebih murah berbanding memandu sendiri.
Pengguna berkenaan yang menggunakan nama “Regular LRT User” menulis di The Star mengatakan tambang RM7.20 untuk pergi dan balik adalah lebih murah dari kadar parkir di tengah bandaraya. Pengguna berkenaan turut berkata walaupun tambang pada BRT dilihat tidak masuk akal, nilai yang tinggi telah dilaburkan di kawasan yang kurang sesak, dan tiada jaringan pengangkutan awam yang mampu memenuhi keperluan setiap pengguna.
Jadi bagaimana pula pengalaman anda menggunakan jaringan LRT baharu yang telah dikembangkan ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.