Naza N5R Launch VIP

Selepas sekian lama menyepi, Naza Bikes hari ini melancarkan model terbaharu keluarannya; Naza N5R yang dijual pada harga RM13,888 (tidak termasuk GST). Ia merupakan versi dengan kelengkapan fairing bagi model popular naked bike terdahulu, Naza N5 pada 2014.

Namun, bukan itu saja peningkatan yang diberikan terhadap motosikal 250 cc terbaharunya ini; selain fairing yang menempatkan dua lampu utama dengan rekaan tirus, Naza N5R turut menerima satu lagi ciri baharu terpenting.

Dengan karektor casis True Sport yang berprestasi tinggi dan ringan serta yang kedua, ia juga dilengkapi sistem EZ Suit terbaharu yang membolehkan pelarasan pada mod dan posisi tunggangan, melibatkan bahagian pemegang, ketinggian tempat duduk dan kedudukan peletak kaki yang semuanya boleh diubah.

Bagi posisi tunggangan super sport, yang memberi tumpuan kepada tunggangan sport dengan kawalan terbaik, ketinggian tempat duduknya dinaikkan 20 mm, bahagian pemegang direndahkan sehingga 30 mm dan kedudukan peletak kaki dianjak ke belakang sebanyak 30 mm.

Bagi mod tunggangan street sports, yang mengutamakan keselesaan tunggangan harian, ketinggian tempat duduk diturunkan 20 mm, pemegangnya dinaikkan 30 mm manakala kedudukan peletak kaki dianjak ke depan sebanyak 30 mm.

Selebihnya, secara mekanikalnya, NR5 mewarisi ciri yang sama dengan model N5 sebelumnya; dikuasakan oleh enjin 249 cc silinder tunggal yang menjana 28 ps pada 9,500 rpm dan 24.17 Nm tork pada 7,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan jenis constant mesh.

Varian Naza N5R SE turut akan dijual pada harga RM15,388, dengan perbezaan pada sebahagian daripada peralatan kelengkapannya; ekzos prestasi tinggi, brake lever sport, tempat duduk tunggal dan bahagian pelindung enjin.

Ia juga menggunakan kerangka lightweight steel tubular dengan fork 37 mm teleskopik terbalik di bahagian hadapan, manakala penyerap hentak dual swingarm dengan caj gas hidraulik di belakang. Kemampuan membrek dilengkapkan dengan penggunaan cakera brek 300 mm dengan kaliper empat piston di depan, serta cakera 230 mm dengan kaliper dua piston di belakang. Berat keringnya ialah 143 kg, lebih ringan daripada kebanyakan pesaingnya.

“Naza N5R dibangunkan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat terhadap jentera 250 cc peringkat kemasukan yang lebih dinamik. Mengikut jejak kejayaan model N5, N5R akan menawarkan lebih banyak lagi kepada penunggang, terutama dengan posisi tunggangan yang boleh diubah,” jelas Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran Naza Bikes, Tan Soon Wei.