proton-saga-theo-render

Dijadual bakal dilancarkan hujung bulan ini, Proton Saga 2016 telah pun menerima penarafan empat-bintang bagi perlindungan perlanggaran daripada ASEAN NCAP. Sedan bajet ini menerima 13.33 markah bagi perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan 71% pematuhan bagi perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), di mana membolehkan ia turut menerima empat-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

Berbanding dengan model semasa Saga FLX+ yang diuji pada tahun 2013, ia menerima 10.23 markah bagi AOP, dengan penarafan tiga-bintang. Manakala bagi pematuhan COP pula, ia memperoleh 48%, iaitu hanya dua-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

Perincian mengenai Saga baharu ini masih belum diperoleh, tetapi kereta ini sah menerima penjana kuasa yang sama dengan Iriz iaitu 1.3 liter VVT empat-silinder – jika pada Iriz, ia boleh menghasilkan 94 hp pada 5,750 rpm dan torque 120 Nm pada 4,000 rpm. Malah ia juga mungkin akan dipadankan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT.