Anita Yusof pulang ke Malaysia lepas setahun kembara bermotosikal ke seluruh dunia secara sendirian

anita-yusof-4

Mungkin ramai yang sudah mendengar berkenaan pengembaraan mengelilingi dunia bermotosikal, sama ada berkumpulan ataupun individu tetapi kisah Anita Yusof adalah berbeza kerana beliau telah menjadi wanita muslim pertama yang melakukannya, secara solo.

Setelah melepasi 40 buah negara dan 4 benua, Anita akhirnya tiba di Malaysia 16 September lalu, dan disambut meriah kumpulan penunggang motosikal serta mereka yang mempunyai minat sama dengan beliau.

Merupakan seorang pensyarah dan ibu kepada dua cahaya mata yang berasal dari Ipoh, Perak, Anita merupakan seorang yang dahagakan cabaran dan kerap mengembara berseorangan secara backpack ke merata dunia.

Sampai di satu tahap, Anita inginkan lebih dan beliau mula membuat keputusan untuk belajar menunggang motosikal kerana ia adalah salah satu jenis pengangkutan sendiri yang mudah dan jimat kos bagi membolehkan beliau mengembara ke pelbagai lagi tempat termasuk yang terpencil.

Ini berlaku sekitar lima tahun dahulu dan individu yang mengajar beliau adalah rakan kepada anaknya. Selepas cukup yakin, beliau sudah mula mengembara.

Tahun 2012 perjalanan beliau sekadar sekitar Asia Tenggara sahaja tetapi kemudiannya satu pengembaraan yang lebih besar dirancang, iaitu tunggangan solo Asia Tengah yang dipanggil ‘Stans Ride’ kerana ia melalui lima negara ‘stan’ iaitu Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan dan Kazakhstan.

Dalam masa sekitar 30 hari, Anita berjaya melengkapkan misinya dan sejak itu, beliau mula dikenali di kalangan penunggang motosikal.

13692450_10154567056932345_3673115866577009983_n

11 September 2015 adalah tarikh keramat bagi Anita kerana itu adalah hari beliau meninggalkan rumahnya di Ipoh dan memulakan pengembaraan bermotosikal secara solo ke seluruh dunia yang beliau panggil sebagai ‘Global Dream Ride’.

Motosikal Yamaha FZ150i tajaan Hong Leong Yamaha Sdn Bhd yang digunakan oleh Anita diterbangkan ke Seattle Amerika Syarikat dan pengembaraan bermotosikal beliau bermula dari situ.

Apabila ditanya kenapa motosikal 150cc itu yang dipilih untuk menggalas cabaran mengelilingi dunia, Anita memberitahu motosikal ini sudah terbukti tahan lasak dan jimat minyak seperti yang dialami sendiri semasa ‘Stans Ride’.

Selain Hong Leong Yamaha, turut menaja Anita melalui barangan serta kelengkapan menunggang adalah GIVI.

13592564_10154525159842345_6458406506434347471_n

Dalam Global Dream Ride ini, Anita melalui 40 buah negara dalam 4 benua dan ini termasuklah negara yang cukup merbahaya seperti Mexico, Colombia, Chile Turkey dan Mongolia.

Menurut Anita, perjalanan ini memerlukan perancangan yang rapi dan persiapan dilakukan lebih daripada enam bulan sebelumnya. Beliau juga tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada syarikat besar dan membelanjakan wang sendiri sekitar RM100,000 semata-mata untuk memenuhi impian mengelilingi dunia secara sendiri dengan menunggang motosikal ini.

Perkara paling digemari sepanjang perjalanan ini adalah peluang untuk bertemu dengan ramai orang, dan menurut Anita, beliau sedar, masih ramai orang-orang baik di dunia ini.

Paling mencabar pula, tentunya adalah cuaca tidak menentu dan berkongsi antara ceritanya, beliau berhadapan dengan angin lintang berkelajuan hampir 130km/j di Rio Grande. Ia bukan sesuatu yang mudah dan ada beberapa kali dalam perjalanan ini beliau terfikir itu mungkin hari terakhir beliau hidup di dunia.

Baru sahaja pulang beberapa hari, Anita hanya menginginkan waktu berehat namun dalam masa terdekat ini beliau akan aktif untuk memberi ceramah berkenaan keyakinan diri, terutamanya kepada pelajar dan golongan muda. Melalui perjalanan ini, beliau membuktikan keyakinan diri boleh membuat seseorang itu mencapai matlamatnya dan dengan usaha yang berterusan, anda boleh tiba di tahap yang tinggi.

Anita juga memberitahu beliau akan mengeluarkan buku berkenaan pengalaman beliau dalam pengembaraan ini dan ia akan dibahagikan kepada empat buah; diasingkan mengikut benua. Buku pertama dijangka akan dikeluarkan sebolehnya sebelum akhir tahun ini.

Anda yang berminat untuk mengetahui dan melihat lebih banyak gambar pengembaraan Anita boleh ke blog atau laman Facebook beliau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required