Tesla-Model-S-85-drive-1

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) berharap kerajaan akan mengurangkan cukai pada kenderaan hibrid dan elektrik sepenuhnya (EV) sebanyak lima hingga sepuluh peratus untuk menggalakkan orang ramai membeli kenderaan sedemikian, lapor Bernama.

Menurut Presiden MICCI Datuk Wira Jalilah Baba, kajian oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mendedahkan bahawa pengangkutan menyumbang 70 peratus daripada pencemaran di negara ini. “Kita mahu menggalakkan penggunaan kereta elektrik secara meluas di jalan raya, tetapi apa yang menghalang pengguna adalah duti import yang tinggi, duti eksais dan permit import (AP),” katanya kepada Bernama.

Beliau memberikan contoh kereta elektrik buatan Amerika, Tesla dijual pada US$70,000 di Amerika Syarikat tetapi di Malaysia, kereta itu dijual pada harga RM500,000.

Bagi menggalakkan penggunaan secara meluas kenderaan elektrik atau hibrid, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan duti import dan cukai lain yang berkaitan, katanya.”Jika kita boleh mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus disumbangkan oleh pengangkutan mengapa tidak? Melalui cara ini kerajaan boleh (juga) mencapai komitmennya kepada PBB untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus,” tambahnya.