SPRM minta 46 pemilik kenderaan lupus serah diri

Cloned-cars-1

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh seminggu untuk 46 pemilik kenderaan lupus mewah yang dibawa masuk dari Singapura untuk tampil dan menyerahkan kenderaan masing-masing kepada pihak berkuasa berkenaan. Jika gagal berbuat demikian, SPRM boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 69 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009), ujar Pengarah SPRM KL Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Katanya lagi, buat setakat ini sebanyak 17 buah kenderaan lupus mewah telah pun disita dan SPRM masih mengesan baki lagi 46 pemilik.

“Kami memiliki senarai dan tahu siapakah pemiliknya termasuk tempat tinggal mereka. Kami menyeru agar mereka menyerahkan kenderaan lupus mewah itu dalam tempoh seminggu ini. Jika gagal, tindakan sewajarnya akan diambil oleh SPRM,” ujar Ahmad Khusairi seperti yang dilaporkan oleh News Strait Times.

Ia adalah susulan berita penahanan seorang kakitangan agensi penguat kuasa semalam, yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran kenderaan bagi mendapat keuntungan berganda. Kakitangan terbabit dikatakan bersekongkol dengan sindiket kereta klon untuk memalsukan lebih 100 dokumen kenderaan mewah yang telah dilupuskan di Singapura untuk dijual semula di negara ini dengan harga terpakai.

Ia dilakukan dengan menipu orang ramai yang menyangka kenderaan dibeli telah dirampas dan dilucutkan hak oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Hari ini, terdapat empat lagi suspek yang disyaki terlibat dengan sindiket ini telah direman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes ini. Ia melibatkan seorang pembantu tadbir di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang runner, seorang pengedar kenderaan terpakai dan seorang pengedar jualan kereta menerusi dalam talian.

Ahmad Khusairi berkata, empat suspek tersebut ditahan di Kuala Lumpur, Kedah dan Kuantan, selepas empat bulan pihak penguatkuasa melakukan intipan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, suspek yang berkhidmat dengan JPJ yang ditahan semalam dipercayai telah mengaut ratusan ribu ringgit hasil komisen memalsukan dokumen kenderaan-kenderaan berkenaan. Dengan me­nyalahgunakan sistem pendaftaran kenderaan JPJ, suspek bukan sahaja telah menyebabkan pembeli yang membuat pinjaman rugi selepas status kenderaan itu terbongkar dan dirampas pihak berkuasa tetapi tidak dapat membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

Bagi mengekang gejala ini, satu operasi khas iaitu Op Piang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat bagi menahan kakitangan penguat kuasa serta anggota sindiket terlibat dan merampas kenderaan-kende­raan yang telah dijual mereka.

Buat setakat ini, pihak ber­kuasa yang melakukan siasatan telah mengenal pasti 67 buah kenderaan lupus mewah bernilai lebih RM1 juta yang telah dijual oleh sindiket tersebut dan lokasi pembelinya. Antaranya melibatkan kenderaan mewah termasuk Mercedes-Benz, BMW, Toyota Vellfire, Mini Cooper, Toyota Wish dan Toyota Estima.

Menurut laporan tersebut, sindiket itu turut menggunakan modul pemasa­ran atas talian, khususnya di Facebook untuk menarik pe­lang­­gan masing-masing bagi me­ngelak ke­giatan mereka dihi­du pihak berkuasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required