dbkl parking tow bernama pix

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mempertimbang untuk melaksanakan sistem caj kesesakan di pusat bandaraya selepas perkhidmatan mass rapid transit (MRT) Line 1 mula beroperasi kelak.

Merujuk kepada lporan The Edge, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Perancangan Bandar DBKL, Nik Mastura Diyana Nik Mohamad, DBKL sedang melihat kepada perincian pelaksanaannya, namun kadar harga bagi jenis-jenis kenderaan masih belum ditentukan.

“Kami akan melaksanakannya (kadar caj laluan). Ia merupakan usaha terakhir bagi mengatasi masalah kesesakan dalam bandar,” jelas beliau. “Kami masih mengkaji perinciannya ketika ini. Kami juga sudah mendapatkan maklum balas orang ramai, tidak hanya berkaitan kadar harga caj, tetapi lebih kepada bagaimana untuk mengubah lanskap pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Fasa pertama MRT Line 1, jajaran dari Sungai Buloh ke Semantan di Damansara Heights dijadualkan memulakan operasi pada Disember. Sementara fasa dua pula, dari stesen Semantan ke Kajang akan mula beroperasi pada Julai 2017.

Nik Mastura turut menambah, rancangan pelaksanaan caj laluan berkenaan memang sudah termasuk di dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2020, dengan matlamat untuk menggalakkan orang-ramai menggunakan pengangkutan awam. “Kita tidak dapat melaksanakannya sekarang kerana orang ramai tidak mempunyai pilihan alternatif ketika ini,” jelasnya.

Polisi ini bertujuan untuk mengelakkan orang ramai daripada menggunakan kenderaan persendirian di dalam pusat bandaraya yang menjadi punca kesesakan. “Ini sama seperti apa yang sudah dilakukan di Singapura. Jika anda memasuki kawasan pusat bandaraya dalam tempoh tertentu, yang menjadi punca kesesakan, anda perlu bayar,” tambah beliau.

Sejak 1975, Singapura telah memperkenalkan Area Licensing Scheme (ALS) di kawasan-kawasan larangan tertentu. Ia kemudiannya dilanjutkan kepada lebuhraya utama melalui Road Pricing Scheme (RPS).