AppleMark

AppleMark

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan semua kenderaan perdagangan (commercial vehicle) untuk memasang pelekat pemantul cahaya berkuatkuasa Januari 2017, seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron.

Memetik laporan Bernama, beliau menegaskan bahawa pelekat pemantul cahaya yang digunakan harus menepati piawaian Malaysian Standard MS828:2011 yang diiktiraf oleh SIRIM.

“Pemilik kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi piawaian SIRIM selepas peraturan ini dikuatkuasakan akan disaman RM300 dan dikeluarkan perintah untuk memasangkan pelekat keselamatan berkenaan,” ujar Nazri.

Beliau memaklumkan bahawa langkah berkenaan diambil rentetan daripada sejumlah kemalangan yang berlaku pada waktu malam melibatkan kenderaan perdagangan, yang kebiasaannya tersadai di bahu jalan akibat kerosakan.

Sejumlah 18 juta kenderaan yang berdaftar dengan JPJ, 1.2 juta daripadanya merupakan kenderaan perdagangan. Nazri juga menjelaskan, setakat ini, hanya terdapat dua syarikat yang menjual pelekat keselamatan berkenaan yang diiktiraf oleh SIRIM; 3M Malaysia Sdn Bhd dan Orafol Reflective Solutions (Malaysia) Sdn Bhd.

Setiap produk berkenaan dijual pada harga RM60 hingga RM80 di Puspakom serta beberapa syarikat lain yang dilantik oleh pembekal.