chevy-colorado-spy-msia-05-bm

Setelah diumumkan tempahannya mula dibuka tempoh hari, kami menerima pula imej spyshot trak pikap Chevrolet Colorado versi facelift yang berhenti dan diparkir di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur.

Sebelum ini, Colorado facelift telahpun diprebiu di Naza Automall Petaling Jaya dan imej ‘teaser‘nya disiarkan di laman Facebook Naza Quest. Ia akan dijual di pasaran Malaysia dengan harga bermula RM95,000, tidak termasuk cukai jalan dan insuran.

Untuk pasaran Malaysia, Colorado ditawarkan dengan tiga jenis enjin dalam lima varian berbeza. Enjin 2.5L turbodiesel Duramax berkuasa 161 hp/380 Nm masih dibawa untuk model facelift ini, digabungkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Enjin kedua ialah enjin 2.5L turbodiesel Duramax versi dipertingkat dengan penggunaan pengecas turbo Geometri Bervariasi (VGT). Enjin ini memenuhi spesifikasi Euro 4 dan mampu menghasilkan kuasa 177 hp pada takat 3,600 rpm serta tork maksima 440 Nm pada takat 2,000 rpm,

chevy-colorado-spy-msia-02_bm

Enjin paling berkuasa dalam barisan enjin Colorado ini ialah enjin 2.8L Duramax turbodiesel. Enjin ini masih menghasilkan kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu 193 hp/500 Nm, tetapi menerima sedikit rombakan untuk memperbaiki aspek NVH.

Versi facelift ini menampilkan muka hadapan yang direka semula dengan pemadanan sepasang lampu hadapan yang lebih nipis mengapit gril hadapan rekaan baharu. Dua warna badan baharu ditawarkan iaitu Pull Me Over Red seperti dua buah unit yang ditemui ini, dan Blue Mountain. Summit White, Black Meet Kettle, dan Switchblade Silver masih kekal dalam pilihan warna Colorado.

Pada bahagian dalaman pula, Colorado menerima papan pemuka rekaan baharu dan juga kemasan yang telah diperhalusi dan materialnya lebih lembut ketika dipegang. Konsol tengah yang diolah semula menampilkan skrin sesentuh dan turut dilengkapi dengan sistem MyLink terkini, termasuk sistem Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri-ciri lain yang turut dipadankan pada varian tertinggi termasuk sistem penghawa dingin automatik, lampu nyalaan siang LED, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang serta penghidup enjin kawalan jauh yang mana sistem ini membolehkan pemandu menghidupkan enjin dengan hanya menggunakan kawalan jauh pada kunci, membolehkan kabin disejukkan dahulu dengan penghawa dingin sebelum penumpang masuk kedalamnya.

chevy-colorado-spy-msia-04_bm

Colorado juga dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik untuk memberikan stereng yang lebih responsif. Tingkap sisi trak pikap ini juga akan terturun sedikit secara automatik ketika pintu ditutup, untuk memudahkan pintu dirapatkan, dengan mengurangkan rintangan udara.

Untuk keselamatan, Colorado dilengkapi dengan Kawalan Tarikan, ESC, dan juga dua beg udara hadapan serta beg udara lutut pemandu. Trak pikap ini turut dilengkapi (sekurang-kurangnya pada varian tertinggi) dengan Amaran Keluar Lorong, Amaran Pelanggaran Hadapan serta Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar.

Menurut Naza Quest, 100 pelanggan Colorado terawal akan menerima servis penyelenggaraan tiga tahun percuma termasuk kos upah dan alat ganti. Setiap pembelian trak pikap ini juga akan dilindungi waranti pengeluar selama lima-tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dahulu.

GALERI: Prebiu Chevrolet Colorado facelift di NAZA Automall PJ