Pengeluar alat mainan Lego sentiasa mempromosikan kreativiti dalam penggunaan produknya. Pelbagai struktur menakjubkan pernah dihasilkan menggunakan bongkah Lego dan dalam video ini anda akan dapat menyaksikan sebuah replika kereta Ford Mustang tahun 1964 yang dibina melalui kerjasama antara Lego dan Southern Ford Dealers, dan dipamerkan di Legoland Florida Resort.

Ia berukuran 4,572 mm panjang, 1,829 mm lebar dan lebih 1,219 mm tinggi. Keseluruhan jumlah bongkah yang diperlukan untuk membina replika ini adalah sebanyak 194,900 keping dan mempunyai berat 776 kg.

Walaupun hanya boleh duduk statik di satu tempat, replika Lego ini dilengkapi dengan bunyi hon, suara seseorang dan bunyi enjin V8 seperti pada kereta sebenar. Apabila ia mengesan ada orang yang menyentuh atau berada berhampiran, bunyi tersebut akan dikeluarkan, seterusnya memberi kejutan kepada orang yang tertarik dengan binaan ini.

Ketelitian yang ditunjukkan pada replika Lego ini cukup menarik, sehinggakan gril, lencana, lampu dan bahagian-bahagian kecil lain turut diambil kira supaya kelihatan sama seperti kereta asal. Anda boleh melihat bagaimana mereka menghasilkan replika ini di dalam video di bawah. Mungkin nanti model Lego seperti ini juga boleh dibuat di Malaysia dan diletakkan di Legoland Johor Bahru.