2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_-001_BM

Terdapat laporan yang disiarkan pada 11 Oktober lalu, Bajet 2017 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan memasukkan perlepasan cukai terhadap pembeli kereta kali pertama. Di mana skim ini adalah untuk generasi muda dalam lingkungan umur tertentu, tetapi tidak terhad kepada pembelian kereta jenama Proton dan Perodua sahaja – kenderaan jenama luar yang dipasang di Malaysia (CKD) juga termasuk dalam skim ini.

Susulan laporan berkenaan, Perodua juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi insentif khas kepada pembeli kereta nasional pertama dalam Bajet 2017. Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, ia dilihat sebagai langkah yang mampu menggalakkan lagi perbelanjaan pengguna.

“Menerusi insentif berkenaan, mungkin ia boleh dibuat dalam bentuk pengurangan jumlah bayaran muka. Sekaligus mampu memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem automotif, serta industri kewangan dan insurans, memandangkan keadaan ekonomi yang lembap dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Malah dalam masa yang masa, Perodua turut mengharapkan bajet 2017 yang bakal dibentangkan pada 21 Oktober ini juga termasuk pelan hala tuju Dasar Automotif Negara yang berterusan dalam meliberalisasi pasaran.

“Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk memastikan vendor tempatan mempunyai masa yang cukup untuk meningkatkan kecekapan dan keupayaan untuk bersaing secara adil. Ini juga untuk memastikan pelaburan peserta automotif tidak tergugat,” katanya.

Perodua_Bezza_Ext-3

Beliau berkata Perodua juga berharap kerajaan akan terus menyokong industri automotif tempatan, sama dengan negara-negara maju yang lain seperti Jerman, Korea Selatan, Jepun dan juga Amerika Syarikat, dari segi insentif.

Katanya, ia adalah bagi menggalakkan aktiviti pembuatan, di samping meningkatkan keupayaan vendor dan pengeluar peralatan tulen. Pada masa yang sama, ia membantu menggalakkan eksport dalam ekosistem automotif. Kerajaan juga perlu mempertimbang untuk melonggarkan dasar perolehan untuk membolehkan Perodua dimasukkan sebagai pilihan bagi pembelian kenderaan pukal kerajaan.

“Ini akan mewujudkan lebih pilihan dan nilai kepada kerajaan pada masa ia perlu mendapatkan nilai terbaik atas barangan yang dibeli,” kata Aminar.

Beliau berkata pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) akan memberi kesan positif kepada ekonomi secara keseluruhan, kerana bank-bank akan mengurangkan kadar pinjaman dan merangsang perbelanjaan.

“Kami menghormati dan menyokong pendirian bank pusat berhubung garis panduan pinjaman, tetapi kami juga percaya bahawa semua institusi kewangan perlu melaksanakannya berdasarkan kes, dan bukannya mempunyai satu peraturan untuk semua,” katanya.

protonsaga_bm_premium_ext-3

Bernama turut mendapatkan kenyataan daripada Timbalan CEO Proton Datuk Radzaif Mohamed berhubung perkara yang sama. Katanya, Proton menyambut baik apa sahaja insentif yang akan dibentangkan kerajaan dalam Bajet 2017, ke arah memperkasakan dan mengembangkan industri itu dengan lebih cepat.

“Kami mengharapkan agar kerajaan mengambil kira status Proton sebagai pengeluar peralatan asli (OEM) sepenuhnya, yang telah banyak membantu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan untuk industri automotif. Ia dirasakan amat penting jika kita dapat sesuatu dari aspek insentif dan dapat menggalakkan perkembangan industri. Ia amat dihargai,” katanya.

Malahan, beliau berkata, pihak Proton mengharapkan insentif dari aspek penyelidikan agar syarikat ini mampu lebih berkembang dari sudut pengetahuan.