Selepas KLCC, kini pengusaha teksi Big Blue Taxi Service melanjutkan lagi halangan mereka untuk pemandu Uber dan Grab mengambil penumpang di empat tempat lagi iaitu Publika, Hotel Ritz Carlton, pusat beli-belah Sunway Putra dan Hotel JW Marriott, menurut laporan dari The Sun.
“Kami melanjutkan langkah ini kerana tempat-tempat yang dinamakan tersebut adalah sebahagian daripada kawasan Big BLue, dan ia adalah keutamaan kami untuk memastikan orang awam mendapat servis yang bagus dan selamat,” kata pengasas Big Blue Taxi Service, Datuk Shamsubahrin Ismail.
Kata beliau, Big Blue berhak melalukan halangan ini kerana mereka mempunyai kontrak dengan setiap pemilik bangunan atau pengurusnya.
“Dalam kontrak tersebut, hanya teksi Big Blue sahaja yang dibenarkan untuk mengambil penumpang di jalan persendirian bangunan tersebut sementara mereka yang beroperasi secara haram atau tidak menepati keperluan yang ditetapkan oleh penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah dilarang masuk untuk mengambil penumpang, meskipun mereka mempunyai tempahan oleh pelanggan,” tambah beliau.
Walaubagaimanapun, mereka masih boleh menurunkan penumpang di sekitar kawasan bangunan memandangkan halangan tersebut tidak termasuk jalan awam atau jalan masuk. Shamsubahrin juga menambah bahawa sesiapa yang telah memulangkan teksi mereka dan kini memandu kenderaan sendiri dialu-alukan untuk menyertai teksi ZeptoBlue (satu kerjasama dengan Zepto Express).
“Apabila mereka menyertai kita, saya terbuka untuk menawrkan kontrak kerja yang membolehkan mereka menerima pendapatan tetap RM3,000 setiap bulan,” jelas beliau sambil menekankan bahawa tawaran tersebut hanya sah bagi mereka yang mempunyai lesen memandu kenderaan awam PSV dan rekod yang bersih.
“Memandangkan keselamatan penumpang adalah menjadi keutamaan, kami menjalankan pemeriksaan ketat dengan pihak berkuasa terhadap semua pemandu sebelum menawarkan mereka kontrak. Kami tidak menerima pemandu yang mempunyai rekod jenayah,” kata Shamsubahrin sambil menambah yang beliau berharap dapat mengambil 5,000 pemandu baru menjelang akhir tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.