mercedes-benz-gls-1

Selain model G63 Edition 463 dan GLC 250 4Matic Coupe, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan Mercedes-Benz GLS 400 4MATIC. SUV tujuh-tempat duduk ini tampil dengan imej yang diperbaharui, selain menawarkan lebih kuasa.

Rekaan luarannya tertumpu pada bahagian hadapannya, dengan menampilkan lampu utama rekaan baharu, gril radiator bar-berkembar yang lebih tebal serta lambang bintang yang lebih besar di tengahnya. Malahan bampar hadapannya juga direka semula memberikan gaya yang lebih dinamik. Bagi bahagian belakangnya, lampunya turut direka baharu dan bamparnya juga lebih berketerampilan.

Menjengah bahagian kabinnya, ia kelihatan menyamai elemen yang ada pada model GLE. Namun terdapat sedikit semakan termasuk panel instrumen yang direka baharu, roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari baharu serta konsol tengah yang dimodifikasi bersama kawalan pad sentuh.

Turut ditampilkan ialah bumbung matahari panoramik, sistem Comand Online dengan Paparan Media berwarna lapan-inci dan butang fungsi pada papan pemuka yang direka semula dengan imej lebih bergaya.

mercedes-benz-gls-3

Selain itu, bahagian kabin turut ditampilkan dengan elemen kekemasan hitam berkilat atau kayuan. Malah pelanggan juga memiliki pilihan sama ada dengan rekaan Exclusive dengan lima pilihan warna dalaman, termasuk material kulit dalam rona hitam, kuning langsat/coklat espresso, coklat/hitam, kelabu kristal/hitam atau kuning langsat/hitam.

Imej dalaman AMG Line turut ditawarkan, termasuk bagi tempat duduk sport dengan kulit nappa, roda stereng pelbagai-fungsi tiga-jejari dengan kekemasan kulit nappa rona hitam, dail instrumen dengan imej berkotak dan pedal sport dengan material keluli tahan karat.

GLS 400 4MATIC juga menampilkan rekaan luaran AMG Line, termasuk ‘apron’ yang spesifik bagi hadapan dan belakang, side flap yang sama dengan warna badan kereta dan juga roda aloi-ringan AMG 21-inci. Dan disebabkan ia adalah tempahan yang istimewa, GLS juga boleh dipersonalisasi berdasarkan pilihan termasuk kekemasan warna luaran, dengan dua edisi istimewa bersama designo diamond white dan designo hyacinth red yang turut ditawarkan bagi SUV ini.

Dijanakan oleh enjin 3.0 Liter turbo-berkembar V6, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 328 hp pada 5,250 hingga 6,000 rpm dan tork puncak 48p rpm dari 1,600 hingga 4,000 rpm. Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan. Dengan prestasi yang dipersembahkan ini, ia mampu memacu SUV ini dari 0-100 km/j dengan hanya 6.6 saat dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 240 km/j.

Secara standard, GLS ini turut dilengkapi dengan sistem Dynamic Select yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Comfort, Slippery, Sport, Individual dan Off-road, serta didatangkan dengan suspensi udara Airmatic. Bukan itu sahaja, sistem peredamnya juga telah dipertingkatkan bagi memberikan pemanduan yang lebih dinamik.

Pembeli juga boleh memilih pilihan Active Curve System, yang menggunakan palang anti-olengan aktif pada gandar hadapan dan belakang bagi mengurangkan kesan olengan terutamanya ketika jentera dipandu di selekoh tajam. Ia turut menawarkan sistem bantuan pemanduan secara standard termasuk Collision Prevention Assist Plus dan Attention Assist.

Harga atas jalan yang ditawarkan bagi GLS 400 4Matic ini bermula RM888,888 (tanpa insurans). MBM juga berkata GLS 500 dan GLS 63 turut ditawarkan menerusi tempahan istimewa.

Untuk spesifikasi dan perincian lanjut mengenai GLS 400 4Matic ini, sila layari Carbase.my.